KOTA KINABALU: 16 Mac 2026 – Seorang lelaki ditahan polis selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika pemeriksaan dijalankan dalam Ops Cegah Jenayah di pusat beli-belah One Borneo, Jalan Sulaman.
Tangkapan tersebut dibuat kira-kira jam 3 petang pada 15 Mac lalu oleh sepasukan anggota Taskforce Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu yang sedang menjalankan operasi pencegahan jenayah susulan peningkatan kes kecurian di kawasan berkenaan.
Menurut kenyataan media Polis Daerah Kota Kinabalu, lelaki terbabit ditahan selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan ketika operasi dijalankan.
Pemeriksaan lanjut mendapati individu tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di Malaysia.
Suspek kemudiannya ditahan bagi tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah.
Dalam pada itu, satu rakaman video berkaitan tangkapan tersebut dilaporkan telah tular di media sosial.
Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mendapatkan pengesahan Jabatan Imigresen Malaysia untuk menentukan status kewarganegaraan suspek.
Polis turut memaklumkan bahawa operasi pencegahan jenayah akan terus dipergiatkan di lokasi tumpuan awam untuk memastikan keselamatan serta ketenteraman masyarakat sentiasa terpelihara.
