Lelaki Mati Tertembak

IMG 0747

KOTA BELUD: 1 Mac 2026 – Seorang lelaki berusia 44 tahun maut dipercayai akibat terkena tembakan ketika menjalankan aktiviti memburu di kawasan Hutan Simpan Stesen SAFODA, Ulu Kukut, Kota Belud, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu melalui talian MERS 999 kira-kira jam 7.17 malam pada 28 Februari 2026.

Menurut beliau, mangsa dilaporkan terjatuh dari pokok dan tidak sedarkan diri ketika menjalankan aktiviti memburu di kawasan berkenaan.

photo 2026 03 02 09 34 32

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa ditemui dalam keadaan terbaring kira-kira 5.2 kilometer dari Pejabat Ladang SAFODA. Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kecederaan pada bahagian kepala dan badan yang disyaki berpunca dari kesan tembakan,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

Siasatan lanjut mendapati mangsa keluar memburu bersama seorang lelaki berusia 35 tahun pada awal pagi hari kejadian. Susulan itu, polis menahan lelaki berkenaan bagi membantu siasatan.

Polis turut merampas selaras senapang jenis bakakuk dan beberapa barangan berkaitan untuk tujuan pemeriksaan forensik dan analisis balistik.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan permohonan reman terhadap suspek telah dibuat bagi melengkapkan siasatan.

Sumber: Polis Daerah Kota Belud

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal