Lebih 2.8 Juta Rakyat Daftar MyDigital ID, Kerajaan Perkukuh Ekosistem Digital Negara

KUALA LUMPUR: 3 Oktober 2025 – Lebih 2.8 juta rakyat Malaysia kini telah mendaftar MyDigital ID dengan lebih 45 platform kerajaan dan swasta, termasuk MyJPJ serta MyBayar PDRM, sudah diintegrasikan bagi memperluas penggunaan identiti digital kebangsaan.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata MyDigital ID akan diwajibkan dalam pendaftaran kad SIM prabayar sebagai langkah meningkatkan keselamatan dan kepercayaan dalam transaksi digital.

Beliau turut memaklumkan bahawa Kabinet telah meluluskan Dasar Pengkomputeran Awan Nasional (NCCP) bagi menyelaras serta memodenkan perkhidmatan awan kerajaan, sekali gus memperkukuh ketahanan infrastruktur digital negara.

Menurutnya, melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), Kementerian Digital sedang memacu pelaksanaan pintu masuk tunggal perkhidmatan kerajaan menerusi aplikasi MyGov dan portal malaysia.gov.my, yang akan dihubungkan dengan MyDigital ID.

Usaha ini, jelasnya, akan memudahkan akses rakyat kepada perkhidmatan kerajaan dan meningkatkan kesalinghubungan antara kementerian.

Sasaran utama adalah memastikan 95 peratus perkhidmatan Kerajaan Persekutuan dapat ditawarkan sepenuhnya secara dalam talian menjelang 2030.

Ucapan Gobind pada pelancaran Bahagian 2 Pemantau Ekonomi Malaysia (MEM) Bank Dunia bertajuk “Dari Bit kepada Manfaat: Transformasi Digital Sebagai Pemangkin Produktiviti Sektor Awam” disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Fabian Bigar.

Gobind menegaskan, kejayaan reformasi digital sektor awam bukan sekadar bergantung pada teknologi, tetapi pada hasilnya, termasuk peningkatan produktiviti, penyampaian perkhidmatan lebih cekap, pengukuhan kepercayaan rakyat serta keterangkuman digital yang lebih menyeluruh.

Beliau optimis bahawa dengan kerjasama semua pihak, Malaysia mampu membina sebuah kerajaan serta ekonomi berdaya saing di peringkat global, berasaskan digital, dan berpaksikan rakyat.

Sumber: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal