Lebih 1,000 Delegasi Sertai Perhimpunan Belia Katolik Malaysia (MCYD)

Seramai lebih daripada 1,000 orang belia Katolik dari seluruh negara Malaysia, telah berkumpul dalam satu program berskala besar anjuran Malaysian Catholic Youth Ministers’ Committee (MCYMC). Program bersejarah ini berlangsung selama enam hari lima malam di beberapa buah paroki sekitar Kota Kinabalu, Sabah.

Program yang julung kalinya diadakan ini menjadikan Sacred Heart Cathedral sebagai tuan rumah, dan pusat utama aktiviti, serta beberapa paroki lain iaitu Holy Nativity Church, Terawi, Stella Maris Church, Tanjung Aru, Church of Mary Immaculate, Bukit Padang, dan St. Michael Church, Penampang.

Perhimpunan ini juga mendapat penyertaan delegasi daripada beberapa buah negara luar seperti Timor Leste, Thailand, Brunei Darussalam, dan juga Macau. Selain penglibatan yang memberangsangkan, MCYD juga menjadi satu sejarah apabila sembilan orang uskup termasuk seorang Kardinal (ketua gereja Katolik setempat) berkumpul bersama untuk memberkati para delegasi perhimpunan.

MCYD dibahagikan kepada dua mod, iaitu Perhimpunan Belia yang merupakan forum perbincangan mendalam dan reflektif yang menyentuh isu-isu berkaitan keluarga, gereja, ekologi, dan masyarakat. Mod yang kedua ialah Pesta Belia, iaitu program selama tiga hari berpusat di Sacred Heart Cathedral yang menyatupadukan pelbagai kaum dalam kalangan delegasi melalui acara sukan, persembahan kebudayaan, dan pelbagai aktiviti yang lain.

Program ini antara lain adalah satu wadah untuk memperkasa belia sebagai ejen pembawa harapan, dan menggalakan belia Katolik untuk berdialog secara sihat serta terbuka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

TV Sabah | News Portal