Lebih 100 Gram Syabu dirampas

photo 2026 03 10 15 01 58

KUDAT: Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai memiliki lebih 100 gram dadah jenis syabu dalam rondaan pencegahan jenayah oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Simpang Kampung Tungkang, Sikuati, pada 7 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Kudat, Mohd Haris Hj Ibrahim, berkata kejadian kira-kira jam 7.10 malam itu berlaku ketika sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat menjalankan rondaan Op Tapis sebelum terserempak dengan dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, kedua-dua lelaki cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis, namun seorang daripada mereka berjaya ditahan manakala seorang lagi melarikan diri.

photo 2026 03 10 15 02 02

“Hasil pemeriksaan menemui dua paket plastik lutsinar berisi hablur kristal disyaki syabu dengan anggaran berat kasar 101.21 gram,” katanya.

Beliau berkata, suspek berusia 40 tahun itu juga didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan ujian saringan air kencing mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek telah direman bagi membantu siasatan lanjut.

Sumber: Polis Daerah Kudat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal