12 Rakyat Malaysia Termasuk Zizi Kirana Ditahan Israel Dalam Misi Flotilla

KUALA LUMPUR: 2 Oktober 2025 – Lapan rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza dilaporkan ditahan secara tidak sah oleh tentera Israel selepas kapal mereka dipintas di perairan antarabangsa, awal pagi ini.

Antara yang ditahan ialah artis terkenal tanah air, Zizi Kirana, yang menaiki kapal Huga. Perkembangan itu dimaklumkan melalui kenyataan rasmi Sumud Nusantara Official di media sosial, yang turut mengesahkan beberapa kapal flotilla dinaiki tentera Israel.

Sebelum pelayaran, Zizi sempat merakam video sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya ditahan. Dalam rakaman itu, beliau menegaskan misi yang disertainya bersifat aman, tidak bersenjata dan mematuhi undang-undang antarabangsa. Beliau turut menyeru kerajaan Malaysia, khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendesak pembebasan segera semua sukarelawan yang ditahan tanpa syarat.

Selain Zizi, empat lagi rakyat Malaysia, iaitu Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khairudin, dan Rusydi Ramli, dilaporkan berada di atas kapal Sirius yang dipintas sekitar jam 9.47 malam waktu Gaza pada 1 Oktober. Tiga lagi iaitu Iylia Balqis, Musa Nuwayri, dan Sul Aidil pula ditahan selepas kapal Alma yang mereka naiki dipintas pada jam 9.44 malam waktu Gaza.

Insiden ini sekali lagi mencetuskan perhatian antarabangsa terhadap tindakan Israel menyekat misi kemanusiaan yang membawa bantuan serta sukarelawan ke Gaza. Nasib kesemua tahanan kini bergantung kepada desakan diplomatik Malaysia bersama komuniti antarabangsa bagi memastikan keselamatan mereka terjamin dan pembebasan segera dapat dicapai.

Sumber: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal