LAHAD DATU: 7 Disember 2025 – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu menahan sebuah vesel pukat tunda yang beroperasi dalam zon larangan perikanan di perairan Tabawan.
Penahanan dilakukan sekitar pukul 2.10 petang, kira-kira 0.9 batu nautika timur laut Pulau Batik, oleh anggota bot ronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan Op Pluto Timur 2/2023 dan Op Tiris 3.0.

Pemeriksaan awal mendapati vesel dikendali oleh tiga warga Indonesia berusia 30 hingga 46 tahun dan seorang kru tempatan berbangsa Bajau berumur 35 tahun.

Hasil tangkapan ikan dianggarkan seberat 800 kilogram, manakala semua kru memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Pemeriksaan lanjut mengesahkan vesel berkenaan melanggar syarat lesen di bawah Akta Perikanan 1985, kerana menangkap ikan dalam jarak kurang daripada 1.5 batu nautika dari daratan terdekat, iaitu kawasan yang tidak dibenarkan untuk aktiviti perikanan komersial.
Sumber: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
