Kurang seminggu subsidi minyak melonjak dari RM700 juta ke RM3.2 bilion

IMG 2249

KUALA LUMPUR : 20 Mac 2026 – Kerajaan meningkatkan subsidi bahan api secara mendadak dari sekitar RM700 juta ke RM3.2 bilion dalam tempoh kurang seminggu susulan kenaikan harga minyak dunia akibat konflik di Asia Barat.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata peningkatan itu dibuat untuk melindungi rakyat dari kesan lonjakan harga pasaran global.

Menurutnya, gangguan di Selat Hormuz yang menjadi laluan utama minyak dunia menyebabkan bekalan terjejas dan harga meningkat.

“Apabila laluan ini terganggu, bekalan minyak dunia menjadi terhad dan harga melonjak,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Konflik berkenaan melibatkan serangan oleh Israel dan Amerika Syarikat terhadap Iran, sekali gus menjejaskan kestabilan pasaran tenaga global.

Anwar berkata Malaysia turut terkesan kerana hampir 50% bekalan minyak negara melalui Selat Hormuz, selain hakikat bahawa negara mengimport lebih banyak minyak berbanding jumlah yang dieksport.

Sehubungan itu, kerajaan menyalurkan subsidi bagi memastikan rakyat dan majoriti peniaga tidak perlu membayar harga sebenar pasaran.

Subsidi tersebut disalurkan melalui program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dan BUDI Diesel.

Sementara itu, beliau menegaskan kerajaan akan terus mengutamakan kebajikan rakyat dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal