Menteri Pendidikan Malaysia, YB Fadhlina Sidek, membuat lawatan mengejut ke Kolej Vokasional (KV) Keningau pada 15 November 2025 semasa dalam perjalanan ke beberapa destinasi di kawasan pedalaman atas Sabah sekitar jam 8.00 pagi.
Para pelajar dan beberapa guru KV Keningau yang semasa itu sedang melaksanakan program bersama rombongan KV Beaufort dengan segera membuat persiapan bagi menyambut kedatangan rombongan Kementerian Pendidikan. Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Haji Raisin Saidin, turut menyertai rombongan tersebut.

Lawatan mengejut Menteri Pendidikan ke KV Keningau itu merupakan satu kunjungan yang telah lama bertangguh atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan pada masa yang lepas.
YB Fadhlina Sidek sangat teuja kerana akhirnya bertemu dengan warga KV Keningau khususnya para pelajar kolej ini yang telah berjaya menempa pelbagai kejayaan dalam pelbagai bidang di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.
Malah, YB Fadhlina Sidek telah bertemu dengan dua orang pelajar program teknologi kimpalan kolej itu pada bulan Ogos yang lepas, Brandon Alvin dan Felix Alejandro, yang berjaya menerbitkan artikel ilmiah projek tahun akhir mereka di sebuah jurnal akademik.
Mereka berdua bersama pengarah kolej itu, Lumang anak Lang, dan ketua jabatan penyelidikan dan inovasi, Dr. Sirhajwan Idek, telah dijemput khas ke pejabatnya yang bertempat di Bangunan Parlimen Malaysia.

Selain daripada pencapaian itu, antara pencapaian terkini kolej ini adalah menerima anugerah sekolah paling inovatif di Sabah Festival of Ideas pada bulan Oktober di Universiti Malaysia Sabah dengan jumlah pingat sebanyak 15 emas dan lima perak serta memenangi empat anugerah kategori, diiktiraf dengan tiga anugerah tertinggi iaitu anugerah tangan emas semasa pertandingan KV Skills peringkat zon Sabah/Labuan pada bulan Julai, dan salah seorang pelajar kolej ini, Siti Nur Hanisah Omar Hashim, merupakan satu-satunya rakyat Malaysia yang berjaya tersenarai sebagai finalis bagi Global Student Prize iaitu anugerah pelajar paling berprestij di peringkat global pada pertengahan tahun ini.
Kolej ini juga berjaya menjuarai kejohanan ragbi kebangsaan yang dianjurkan di Johor baru-baru ini.
Pengarah KV Keningau, Lumang anak Lang, berasa sangat terharu dengan kunjungan dan ucapan tahniah Menteri Pendidikan terhadap institut pendidikan yang diterajuinya.

Dia mengganggap ini sebagai pembakar semangat bagi dia untuk terus mengemudi pengurusan kolej tersebut agar terus cemerlang dalam pelbagai bidang sama ada akademik, ko-kurikulum mahupun sahsiah.
