KUDAT: 14 Ogos 2025 – Masjid Asy-Syakirin menjadi tumpuan masyarakat apabila Program Solat Hajat, Bacaan Yassin, doa dan tahlil khas untuk Allahyarhamah Zara Qairina diadakan petang tadi. Program itu dilaksanakan serentak di seluruh Sabah sebagai tanda solidariti dan sokongan terhadap usaha menuntut keadilan di bawah tema #JusticeForZara.
Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Haris Hj Ibrahim hadir bersama pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kudat, diiringi pemimpin masyarakat serta wakil jabatan kerajaan. Antara yang turut serta ialah Penolong Pegawai Daerah (Pentadbiran) Kudat, Malim Supre, Ketua Daerah Kudat, OKK Aliasgar Alibaba, Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Kudat, Ustaz Kamal Sindong, dan Imam Daerah Kudat, Ustaz Mohammad Noh Majid.
Selain memanjatkan doa untuk kesejahteraan roh Allahyarhamah dan memohon agar segala urusan kes dipermudahkan, program itu juga menjadi wadah merapatkan hubungan antara pihak berkuasa dan masyarakat setempat. Lebih ramai jemaah hadir bagi bersama-sama menghayati semangat kebersamaan dalam memperjuangkan keadilan.
Sumber: Polis Daerah Kudat