KOTA KINABALU: 18 Disember 2025 – Sambutan Krismas Peringkat Negeri Sabah 2025 terus berlangsung meriah apabila kehadiran pengunjung kekal tinggi sehingga hari kedua penganjuran, sekali gus mencerminkan keterujaan rakyat menyambut perayaan tersebut dalam suasana harmoni dan kebersamaan.
Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Krismas Peringkat Negeri Sabah 2025, Datuk Ewon Benedick berkata, sambutan yang menggalakkan sudah dapat dilihat sejak majlis perasmian apabila orang ramai hadir dalam jumlah besar bagi memeriahkan acara tersebut.
Pada hari kedua penganjuran, beliau turut meluangkan masa meninjau tapak jualan penjaja dengan memberi tumpuan kepada penglibatan usahawan tempatan yang terpilih, khususnya dalam penyediaan jamuan rakyat.
Sambutan yang diterima amat memberangsangkan apabila hidangan yang disediakan habis dalam tempoh singkat, sekali gus mencerminkan penerimaan positif pengunjung.
Mengulas pembaharuan yang diperkenalkan tahun ini, Ewon menjelaskan bahawa selain pengiktirafan sambutan Krismas anjuran Majlis Gereja-Gereja sebagai acara peringkat negeri, elemen jamuan makan bersama rakyat turut diperkenalkan dengan penglibatan langsung peniaga kecil tempatan.
Menurut beliau, inisiatif tersebut bukan sahaja menambah kemeriahan sambutan, malah membuka peluang kepada usahawan kecil untuk terlibat secara aktif dalam aktiviti ekonomi sepanjang tempoh perayaan.
Pendekatan itu juga selari dengan komitmen kerajaan negeri dalam memperkasa pertumbuhan ekonomi rakyat secara inklusif.
Beliau turut berharap pembaharuan yang diperkenalkan mendapat sokongan berterusan daripada masyarakat.
Sekiranya sambutan positif ini berterusan, cadangan akan dikemukakan kepada kepimpinan negeri supaya inisiatif berkenaan dapat diteruskan dan diperkukuhkan pada penganjuran akan datang.
Sementara itu, mengulas kemungkinan penganjuran Sambutan Krismas Peringkat Negeri di lokasi lain pada masa hadapan, Ewon berkata pihaknya terbuka untuk menerima pandangan serta cadangan orang ramai, selaras dengan hasrat memastikan kemeriahan sambutan ini dapat dirasai oleh lebih ramai rakyat di seluruh Sabah.
