KUALA LUMPUR: 7 Ogos 2025 – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengecam penyebaran maklumat palsu berkaitan kematian Zara Qairina Mahathir, 13, pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah, yang didakwa menjejaskan emosi serta keselamatan warga sekolah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, lebih 10 laporan polis telah dibuat terhadap kandungan video dan penulisan tular di media sosial yang menimbulkan pelbagai tuduhan tidak berasas sehingga mengundang kemarahan awam terhadap guru dan pelajar sekolah berkenaan.
Laporan itu difailkan di Putrajaya atas nasihat Bahagian Undang-Undang KPM, manakala guru dan ibu bapa di Sabah turut membuat laporan susulan penyebaran nama, gambar serta identiti pelajar lain yang dikaitkan secara palsu dengan kes tersebut.
“Maklumat tidak sahih yang dikongsi secara meluas ini bukan sahaja mengganggu emosi, malah boleh mencetus tindakan di luar kawalan terhadap pelajar atau guru yang tidak bersalah,” tegas Fadhlina.
Antara kandungan yang dikenalpasti termasuk video seorang wanita mendakwa kononnya Zara mengalami kecederaan dalaman akibat dimasukkan ke dalam mesin basuh iaitu satu dakwaan yang disifatkan tidak berasas dan tidak bertanggungjawab.
Fadhlina menjelaskan, siasatan rasmi sedang dijalankan oleh pihak polis dan laporan awal telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara. Justeru, penyebaran tuduhan palsu hanya menambah tekanan kepada keluarga mangsa serta warga sekolah yang kini terpaksa berdepan dengan pelbagai andaian dan tomahan.
“Orang anggap KPM diam, tetapi sebenarnya kami aktif melindungi kebajikan pelajar dan guru. Penyebar fitnah mesti bertanggungjawab, lebih-lebih lagi jika mereka menyebabkan pelajar diancam atau diugut sebelum keputusan siasatan diketahui,” ujarnya.
Menurut Fadhlina, hasil laporan polis yang dibuat, beberapa individu telah menarik semula kandungan yang dimuat naik dan menghentikan sebaran.
Tambah beliau, seramai 60 saksi dari sekolah telah dipanggil bagi membantu siasatan, dan proses soal siasat dijalankan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.
Prosedur operasi standard (SOP) KPM juga menetapkan bahawa pelajar bawah umur tidak boleh disoal siasat tanpa kehadiran ibu bapa, guru besar, guru kaunselor atau wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
“Mereka bukan pesalah. Oleh itu, setiap langkah siasatan mesti menitikberatkan kesejahteraan emosi pelajar. Pihak polis juga sangat profesional dan patuh pada akta yang berkenaan,” katanya.
Zara Qairina dilaporkan ditemui parah di bawah bangunan asrama pada awal pagi 16 Julai lalu, dan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu. Polis sebelum ini memaklumkan tidak menolak kemungkinan unsur buli terlibat dalam kes ini.
Sumber: Berita Harian