Korea Utara Musnahkan Impian Malayan Tigers Ke Piala Asia Wanita 2026

Kuala Lumpur, 6 Julai 2025 – Impian skuad Malayan Tigress untuk mara ke pusingan akhir Piala Asia Wanita 2026 musnah selepas tewas 0-6 kepada gergasi bola sepak wanita Asia, Korea Utara, dalam aksi terakhir Kumpulan H yang berlangsung di Stadium Central, Dushanbe.

Selepas mencatat dua kemenangan ke atas Palestin dan Tajikistan, pasukan kendalian Joel Cornelli berdepan cabaran getir menentang pasukan yang kini menghuni ranking kesembilan dunia dan juara Asia sebanyak tiga kali.

Malaysia bertahan dengan baik sehingga minit ke-39 sebelum Kim Hye Yong membuka tirai jaringan untuk Korea Utara. Myong Yu Jong menambah jaringan kedua menjelang tamat separuh masa pertama, memaksa skuad negara masuk ke bilik persalinan dengan defisit dua gol.

Selepas rehat, Korea Utara pantas menambah tekanan dan menjaringkan dua gol berturut-turut menerusi Kim Kyong Yong pada minit ke-52 dan 54, sebelum pemain yang sama melengkapkan hatrik pada minit ke-77. Ri Hye Gyong melengkapkan kemenangan besar Korea Utara dengan gol keenam di penghujung perlawanan.

Meskipun tewas, skuad negara masih menunjukkan peningkatan apabila berjaya memberikan tentangan lebih lama berbanding Palestin dan Tajikistan yang masing-masing dibelasah 10-0 oleh Korea Utara sebelum ini.

Kegagalan mara ke pusingan akhir bermakna Malaysia tidak akan menyertai edisi Piala Asia Wanita 2026 yang dijadual berlangsung dari 1 hingga 21 Mac 2026 di Australia. Namun, dua kemenangan awal dalam kempen kelayakan ini memberi petanda positif terhadap potensi dan pembangunan bola sepak wanita negara.

Sumber, Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal