Kontrak Sewa Tidak Disambung, Pemilik Kedai Diserang Penyewa

TAWAU: 13 Julai 2025 – Seorang wanita yang merupakan penyewa berang apabila permintaan untuk menyambung kontrak sewa tidak dilayan.

Wanita berkenaan bertindak agresif dengan menyerang pemilik kedai dan mengugut untuk membakar premis kedai berkenaan di Taman Semarak, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku sekitar jam 12.30 tengah hari ketika mangsa, seorang wanita berusia 36 tahun, berada di dalam premis miliknya.

Menurut laporan, suspek bersama empat lelaki lain datang menyerang mangsa dengan memukul, menendang dan mengugut untuk membakar premis berkenaan.

Siasatan awal mendapati kejadian berpunca dari pertikaian mengenai kontrak sewa premis yang dijadual tamat Ogos ini.

Suspek dipercayai tidak berpuas hati selepas mengetahui kontrak sewa tersebut tidak akan diperbaharui oleh pemilik asal premis.

Berdasarkan laporan polis yang dibuat, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau berjaya menahan dua individu termasuk suspek utama berusia 36 tahun dan seorang lelaki berusia 27 tahun di IPD Tawau pada hari yang sama, kira-kira jam 4.30 petang.

Hasil siasatan mendapati suspek wanita tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau, manakala suspek lelaki pula mempunyai empat rekod jenayah terdahulu, termasuk kes berkaitan dadah dan khianat.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

ACP Jasmin turut mengingatkan orang ramai agar tidak bertindak melulu dalam menyelesaikan perselisihan, sebaliknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya.

Sumber: Kenyataan Media Polis Daerah Tawau

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal