Komuniti Digesa Sumbang Bibit Buah Bagi Hijaukan ‘Elephant Zone’ Telupid

Gambar Suara Dari Hutan

TELUPID: 2 Oktober 2025 – Inisiatif pemuliharaan hutan di Telupid digiatkan melalui kempen pengumpulan bibit buah-buahan untuk ditanam di kawasan khas Elephant Zone.

Usaha ini bertujuan menyediakan sumber makanan semula jadi kepada gajah dan hidupan liar lain sekali gus mengurangkan konflik manusia-hidupan liar di kawasan berkenaan.

Menurut penyelaras projek Community Elephant Ranger Telupid, Alvein Dee Albenus, antara bibit yang amat diperlukan ialah cempedak, tarap, mangga, dan durian, dengan keutamaan diberikan kepada cempedak yang berbuah tanpa bermusim.

Katanya, sumbangan boleh dilakukan sama ada dalam bentuk biji benih mahupun anak pokok yang sudah mula tumbuh bagi memudahkan dan mempercepat proses penanaman.

Alvein menegaskan, setiap pokok yang disumbangkan akan memberi impak besar bukan sahaja dalam memastikan kelangsungan makanan gajah, tetapi juga sebagai usaha menjaga keseimbangan ekosistem hutan.

Selain itu, langkah ini diyakini mampu mengurangkan gangguan gajah ke kawasan kebun dan penempatan komuniti, di samping menjadi pelindung kepada sumber makanan hidupan liar yang semakin terancam.

Kempen ini membuka ruang penyertaan masyarakat untuk berganding bahu dalam pemuliharaan alam sekitar, sekali gus menyumbang kepada usaha kelestarian untuk generasi akan datang.

Program berkenaan dianjurkan dengan kolaborasi beberapa persatuan dan badan bukan kerajaan, iaitu Skuad Anti Dadah Sandakan, Majlis Belia Daerah Telupid, dan Angels United.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal