SANDAKAN: 19 September 2025 – Kementerian Kerja Raya (KKR) menggerakkan pegawainya bagi melaksanakan taksiran segera terhadap kerosakan jalan, lebuh raya, dan cerun di Sabah yang terjejas akibat bencana baru-baru ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, taksiran itu penting untuk mengenal pasti jumlah kos pembaikan sebenar, termasuk kawasan cerun yang runtuh sehingga meragut 13 nyawa.
Ahmad berkata, setakat ini, jumlah anggaran kerosakan masih belum diperoleh kerana proses penilaian masih dijalankan. Beliau bersama Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir telah meninjau projek pembinaan semula Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Putih Baru, di sini, hari ini.
Dalam lawatan sama, Ahmad mengumumkan peruntukan RM18 juta bagi kerja penyelenggaraan laluan Lebuhraya Pan Borneo melibatkan Pakej 25 dan Pakej 26 sepanjang lapan kilometer dari Bulatan Batu 6 ke Bulatan Sukau, Kinabatangan.
Beliau menegaskan penyelenggaraan laluan tersebut sepatutnya dilaksanakan lebih awal oleh syarikat konsesi yang dilantik, bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna di pantai timur Sabah.
Dalam lawatan berkenaan Ahmad telah menggunakan laluan yang sama dan menegaskan pembaikan berkenaan tidak boleh ditangguh lagi dan mengarahkan agar ia dipercepatkan tanpa alasan.
Sumber: H Metro,
