PUTRAJAYA: 28 Januari 2026 — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus memperkukuh kesiapsiagaan negara bagi menghadapi risiko jangkitan Penyakit Nipah susulan laporan media mengenai penularan wabak berkenaan di West Bengal, India, walaupun setakat ini tiada kes dilaporkan di Malaysia.
Menurut kenyataan media KKM, langkah kesiapsiagaan itu merangkumi pemantauan berterusan kesihatan awam, saringan kesihatan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA), peningkatan kapasiti makmal, kesiapsiagaan fasiliti kesihatan untuk pengesanan awal dan pengurusan kes yang disyaki.
Penyakit Nipah disebabkan oleh virus Nipah (NiV) dengan keluang sebagai perumah semula jadi. Jangkitan boleh berlaku melalui sentuhan langsung dengan cecair badan haiwan atau manusia yang dijangkiti, pengambilan makanan tercemar, dan pendedahan kepada persekitaran berisiko.
Sehubungan itu, kerjasama rentas sektor terus diperkukuh melalui pendekatan One Health, melibatkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN). Setakat ini, tiada pengesanan virus Nipah dilaporkan dalam kalangan haiwan domestik atau liar di Malaysia.
Gejala jangkitan termasuk demam, sakit kepala, muntah, batuk, kesukaran bernapas, sawan, dan kekeliruan, dengan tempoh pengeraman antara lima hingga 14 hari. Kes yang teruk boleh menyebabkan radang otak dan kegagalan pernafasan.
KKM menegaskan orang awam dan pengembara yang ke kawasan berisiko tinggi supaya mengamalkan kebersihan diri, mengelakkan sentuhan dengan haiwan yang sakit dan mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala selepas pulang ke Malaysia.
Sumber :Kementerian Kesihatan Malaysia
