KKM nilai semula penggunaan helikopter FDS susulan tragedi Long Lellang

acb2701e db6b 4f15 bb14 4b798d532ed0

Oleh: Nurul Fazliana Norman

KUALA LUMPUR: 9 September 2026 – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menilai semula penggunaan helikopter untuk perkhidmatan Flying Doctor Service (FDS) susulan insiden helikopter perkhidmatan terhempas di Long Lellang, Sarawak, petang semalam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, keputusan itu akan dibuat selepas mengambil kira kenyataan pihak berkuasa berkaitan aspek keselamatan helikopter.

“Kita di peringkat Kementerian Kesihatan Malaysia akan mengambil maklum input dari pihak berkuasa berkaitan keselamatan helikopter tersebut, dan kita akan membuat keputusan sama ada penggunaan helikopter tersebut akan diteruskan untuk khidmat ini,” katanya.

Beliau berkata, KKM tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan petugas yang menjalankan perkhidmatan FDS, manakala aspek kelulusan penerbangan tertakluk kepada agensi berkaitan.

Dalam perkembangan sama, Dzulkefly berkata operasi mencari dan menyelamat mangsa dimulakan pada 7.30 pagi tadi oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Hospital Miri turut bersedia sepenuhnya untuk menerima mangsa sebaik sahaja dibawa keluar dari lokasi kejadian.

Sementara itu, KKM turut menggerakkan pasukan Mental Health and Psychosocial Support (MHPSS) untuk memberikan Psychological First Aid dan sokongan emosi kepada keluarga mangsa dan petugas FDS yang terkesan.

Beliau berkata, bantuan kewangan turut akan disalurkan kepada keluarga mangsa melalui tabung kebajikan KKM, dan bantuan yang disediakan kerajaan.

KKM juga memberi jaminan akan menyalurkan maklumat rasmi berkaitan perkembangan tragedi berkenaan dari semasa ke semasa selepas mendapat pengesahan pihak berkuasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal