KJRI Kota Kinabalu Perkukuh Hubungan Media Melalui Media Gathering 2025

photo 2025 11 17 08 33 48

KOTA KINABALU: 13 November 2025 – Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu mengadakan Media Gathering pada 12 November bagi memperkukuh kerjasama dengan rakan-rakan media serta memperkenalkan Konsul Jeneral baharu, Noorman Effendi, yang genap sebulan memulakan tugas di Sabah.

Majlis tersebut memberi ruang kepada Konsul Jeneral untuk berkongsi fokus utamanya, termasuk usaha memperkukuh perlindungan Warga Negara Indonesia (WNI) di Sabah serta mengembangkan hubungan ekonomi, perdagangan, sosial, budaya dan pendidikan antara Indonesia dan Sabah.

Beliau berkata, dianggarkan lebih 130.000 WNI menetap dan bekerja di negeri ini, menjadikan peranan KJRI sebagai penyedia perlindungan, perkhidmatan dan pemerkasaan amat penting.

Sepanjang tempoh beliau bertugas di Sabah, Konjen turut mengiringi delegasi usahawan Sabah ke Trade Expo Indonesia, yang menghasilkan beberapa persetujuan perdagangan baharu, khususnya dalam sektor eksport biji kopi.

Konsul Jeneral juga merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia, khususnya Kerajaan Negeri Sabah, atas kerjasama dalam menyediakan akses pendidikan kepada anak-anak Pekerja Migran Indonesia (PMI) melalui Community Learning Centre (CLC) sejak tahun 2011.

Beliau menekankan bahawa peluasan akses pendidikan kepada anak-anak PMI di luar kawasan ladang, selaras dengan persetujuan bilateral pada Julai 2025, merupakan satu langkah penting.

Anak PMI yang menamatkan pendidikan asas di CLC pada usia 15 tahun turut dijamin peluang melanjutkan pendidikan di Indonesia melalui skim biasiswa afirmasi.

photo 2025 11 17 08 33 41

Dalam pada itu, isu perdagangan di kawasan sempadan turut dihuraikan. Walaupun angka rasmi perdagangan tidak besar, wujud pergerakan barangan secara tradisional dan tidak direkodkan, termasuk barangan Malaysia yang dibawa masuk ke Indonesia dan sebaliknya.

Beliau menegaskan bahawa potensi ekonomi ini boleh dimanfaatkan sekiranya wujud mekanisme perdagangan formal yang lebih tersusun.

Konsul Jeneral turut menekankan isu konektiviti laut dan udara antara Sabah dan Indonesia. Walaupun pelabuhan di Tawau, Sandakan dan Kota Kinabalu beroperasi, ketiadaan laluan penghantaran terus menyebabkan barangan perlu transit di pelabuhan perantara, sekali gus menjejaskan ketepatan masa penghantaran.

Keadaan sama turut berlaku bagi laluan udara, di mana satu-satunya penerbangan langsung yang masih beroperasi ialah Kota Kinabalu–Jakarta, tiga kali seminggu. Beliau berharap akses pengangkutan antara kedua-dua wilayah dapat ditambah baik sepanjang tempoh dia bertugas di Sabah.

Konsul Jeneral menyifatkan media sebagai rakan strategik dan jambatan maklumat penting dalam menyampaikan maklumat sahih kepada masyarakat.

Beliau berharap hubungan erat yang terjalin selama ini dapat diperkukuh, terutama menjelang pembentukan kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17 pada 29 November 2025.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah wakil daripada Jabatan Penerangan Sabah, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Big B Creative, KK Food Buddy, New Straits Times, Borneonews.Net, See Hwa, The Malaysia Press (TMP), Daily Express, Nabalu News, Borneo Post, dan Portal Indonesia Online.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal