Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah, Datuk Joniston Bangkuai.
KIULU, 2 Mei 2025: Selepas kejayaan pelaksanaan pelancongan komuniti, Kiulu kini bersedia melangkah ke hadapan dengan meneroka pertanian komuniti sebagai inisiatif baharu bagi memperkasa sosioekonomi penduduk luar bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu merangkap Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai berkata, konsep pertanian komuniti ini akan mengadaptasi pendekatan pelancongan komuniti yang telah berjaya menjadikan Kiulu sebagai model rujukan.
“Model penglibatan komuniti dan tanggungjawab bersama telah terbukti berkesan dalam sektor pelancongan, dan kini kami ingin menggunakan prinsip yang sama dalam bidang pertanian,” katanya.
Tambah beliau, usaha ini akan dilaksanakan di atas tanah rizab kampung yang telah diwartakan, sekali gus menyediakan kawasan yang tersusun dan terancang untuk aktiviti pertanian.
“Ketika ini, hampir 30 kampung di Kiulu mempunyai tanah rizab yang sesuai untuk dilaksanakan inisiatif ini,” ujarnya.
Menurut Joniston, kejayaan pelaksanaan inisiatif ini amat bergantung kepada penglibatan aktif pemimpin tempatan termasuk ketua kampung dan pengerusi JKKK yang berpengalaman dalam pertanian.
“Pusat Khidmat ADUN Kiulu akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Pertanian Daerah Tuaran dan para pemimpin akar umbi untuk merancang pelaksanaan, serta menyediakan sokongan teknikal yang diperlukan.
“Libat urus ini akan menjadi asas kepada penyediaan satu kertas konsep menyeluruh yang akan dikemukakan kepada kementerian berkaitan bagi mendapatkan pembiayaan,” katanya lagi.
Inisiatif pertanian komuniti ini turut seiring dengan aspirasi Sabah Maju Jaya yang menekankan pembangunan luar bandar dan kelestarian ekonomi jangka panjang.
Kiulu kini terkenal dengan hasil pertanian seperti nanas, halia, dan padi bukit, yang kesemuanya mempunyai potensi pasaran yang tinggi sekiranya dibangunkan secara komersial.
“Ini adalah tanaman ikonik Kiulu. Kami mahu memaksimumkan nilainya dan menjadikan kawasan ini sebagai pusat pengeluaran hasil premium,” kata beliau, sambil menambah bahawa terdapat perancangan jangka panjang untuk membina kilang pemprosesan bagi menambah nilai dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan tempatan.
Sejak tahun 2014, sektor pelancongan komuniti di Kiulu telah berkembang daripada hanya beberapa pengusaha kepada lebih 80 pengusaha, dengan lebih 400 penduduk tempatan mendapat pekerjaan secara sambilan dan sepenuh masa.
“Pertanian sudah lama menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat di sini, dan kini ia juga berpotensi menjadi satu tarikan. Gabungan antara pertanian dan pelancongan mampu memperkayakan lagi pengalaman luar bandar yang autentik,” tambah Joniston.