KOTA KINABALU: 1 Julai 2025 – Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, menafikan sekeras-kerasnya penglibatannya dalam dakwaan skandal rasuah yang kini sedang hangat diperkatakan. Beliau menyifatkan tuduhan tersebut sebagai satu konspirasi politik yang terancang rapi dengan tujuan utama menggugat kestabilan gabungan parti tempatan yang kini memerintah Sabah.
Kitingan, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, melahirkan rasa hairan dengan kemunculan namanya dan beberapa pemimpin lain secara tiba-tiba dalam skandal tersebut. Katanya, ia menimbulkan persoalan yang besar memandangkan mereka adalah antara nama terakhir yang dikaitkan.
“Saya melihat ini sebagai satu konspirasi politik. Ada ‘tangan-tangan ajaib’ yang sedang bergerak di belakang tabir, merancang dan menyusun semua ini,” tegas beliau selepas menghadiri Sambutan Ulang Tahun STAR ke-9 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Selasa.
Beliau turut menyifatkan tuduhan itu sebagai satu perangkap yang sengaja dipasang untuk menjatuhkan imej dan kredibilitinya. Ketika ditanya mengenai dalang di sebalik konspirasi tersebut, Kitingan mengakui tidak mempunyai jawapan yang pasti, namun beliau yakin ia didalangi oleh pihak berkepentingan yang mahu menjatuhkan kerajaan negeri sedia ada.
Mengulas mengenai rakaman video yang tular, Kitingan mengesahkan pernah bertemu dengan individu yang dikaitkan dalam isu tersebut, namun menegaskan pertemuan itu hanyalah pertemuan biasa bersama sekumpulan ahli perniagaan lain.
Sebagai tindak balas terhadap dakwaan tersebut, Kitingan memaklumkan akan membuat laporan polis dan mendapatkan nasihat perundangan bagi mempertimbangkan langkah-langkah selanjutnya.
Menurutnya lagi, beliau sendiri dan beberapa individu lain pernah dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan sebelum ini, namun tiada tindakan lanjut diambil selepas itu.
Kitingan menegaskan bahawa beliau tidak akan tunduk kepada sebarang tekanan dan akan terus berkhidmat untuk rakyat Sabah. Beliau yakin kebenaran akan terungkap dan konspirasi ini akan terbongkar.