Kilang pemprosesan hasil pertanian fasa 2 Tenom akan dibina tahun ini – Jamawi

bfc645f4 7ac6 4b67 a924 5f6fd3f1d45d.JPG

TENOM: 31 Januari 2025 – Kilang pemprosesan hasil pertanian Fasa 2 akan dibina pada pertengahan tahun ini, bersebelahan dengan bangunan sedia ada, yang akan berperanan memproses hasil tani menjadi kering atau produk pertanian bernilai tambah, dan mengurus lebihan hasil pertanian bagi memastikan tiada pembaziran berlaku.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi berkata demikian dalam lawatan kerja ke Pusat Pengumpulan dan Pembelian Hasil Pertanian Tenom di bawah kendalian Koperasi Pembangunan Desa (KPD) Rabu lalu.

Lawatan tersebut bertujuan meninjau perkembangan projek Fasa 1 yang kini telah siap 85 peratus dan akan memudahkan pekebun dan petani di Tenom, Kemabong, dan Malalap memasarkan hasil tani mereka.

Beliau mengalu-alukan input dari pemain industri tempatan, termasuk Persatuan Penanam Buah-buahan Tropika, mengenai mesin dan peralatan yang diperlukan bagi kegunaan bersama, seperti dalam taklimat Timbalan Pengurus Besar (operasi) APCC, Andree Funk mengenai operasi dan kemajuan projek semasa

“Kita akan bekerjasama dengan semua agensi bagi memastikan sekurang-kurangnya ada satu pusat pengumpulan di setiap kawasan Parlimen untuk kemudahan masyarakat luar bandar,” kata Jamawi.

Di bawah KPD, terdapat 14 pusat pengumpulan, manakala Jabatan Pertanian pula mengurus lebih 10 pusat pengumpulan lain di Sabah.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor atas kelulusan peruntukan bagi projek itu.

Dalam program berasingan, Jamawi turut menghadiri mesyuarat pertama Jawatankuasa Pembangunan Pertanian Daerah Tenom, dan menerima penerangan dari Pegawai Pertanian Kanan Pejabat Pertanian Tenom, Ts. Mohammad Fauzi Abdul Gulam, serta berkesempatan melawat tapak padi satelit di kawasan itu.

Turut hadir ialah Ketua Daerah DUN Melalap, OKK Tusib Tulas; Pemimpin Pembangunan Masyarakat Melalap, Denesly Justin; Presiden Persatuan Penanam Buah-buahan Tropika Tenom, Gerald Baxter; dan beberapa Kapitan Cina.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal