KOTA KINABALU: 21 Ogos 2025 – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan bahawa Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan menjadi penyertaan terakhir beliau dalam arena politik.
Selepas lebih 35 tahun berkhidmat, Hajiji berkata beliau tidak pernah menyangka akan diberikan mandat sebagai pemimpin nombor satu negeri ini. Katanya, keputusan untuk tidak lagi bertanding telah dimaklumkan kepada pengundi di kawasan Sulaman.
Beliau menegaskan langkah itu diambil bagi memastikan kesinambungan kepimpinan negeri serta memberi ruang kepada generasi pelapis untuk mengambil alih peranan dalam politik Sabah.
Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membuat pengumuman berkenaan ketika berucap merasmikan Dewan DSP Haji Hajiji dan majlis persaraan guru besar di Sekolah Kebangsaan Bundung, Tuaran.
Pengumuman tersebut menandakan satu titik penting dalam landskap politik Sabah menjelang PRN17 yang bakal berlangsung tidak lama lagi, selain mengesahkan peralihan kepimpinan kepada generasi baharu.
Sumber : Astro Awani