PORT DICKSON: 5 September 2025 – Sepasang suami isteri ditahan polis selepas memberikan keterangan mencurigakan berhubung insiden dua anak mereka yang lemas apabila kereta dinaiki terbabas ke dalam Sungai Linggi, Tanjung Agas, malam Rabu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, berkata pasangan berusia 41 dan 46 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson untuk siasatan lanjut.
Ujian air kencing mendapati kedua-duanya negatif dari bahan terlarang.
Semakan lanjut mendedahkan kereta jenis Nissan Teana yang mereka digunakan pernah dilaporkan hilang di Nusa Bestari, Johor pada 2022.
Lelaki terbabit turut memiliki 16 rekod jenayah lampau, termasuk empat kes yang masih dikehendaki pihak berkuasa, manakala isterinya tidak mempunyai rekod jenayah.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan kedua-dua suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Seremban bagi permohonan reman.
Dalam kejadian itu, kereta berkenaan yang diparkir di tebing sungai dipercayai menggelongsor ke dalam air ketika si bapa keluar untuk merokok.
Wanita berkenaan berjaya diselamatkan orang awam, namun dua beradik masing-masing berusia enam dan lapan tahun terperangkap sebelum ditemui meninggal dunia akibat lemas.
Polis menegaskan siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian demi memastikan keadilan untuk kesemua mangsa.
Sumber: Berita Harian