NABAWAN: Program Jelajah Ilmu Watan 3.0 (JIWA 3.0) yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Salong, Nabawan, meninggalkan impak positif kepada murid pedalaman dan masyarakat setempat melalui pelbagai aktiviti.
Seramai 31 sukarelawan dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyertai program berteraskan enam tonggak utama iaitu Pendidikan, Transformasi Digital, Kesihatan, Perpaduan, Keusahawanan dan Ketahanan Iklim. Pasukan diketuai oleh Ak Syaiffudinsah Awang Ku Zainuddin (UMS) dan Fendi Kamilis (UPSI).

Kisah keberanian seorang sukarelawan Orang Kurang Upaya (OKU), Aminuddin Al-Hafiz Ismahisham dari UPSI, telah menarik perhatian apabila beliau sanggup mengharungi laluan mencabar termasuk jambatan sempit dan tinggi menuju rumah panjang Kampung Balantos dengan menggunakan kerusi roda.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk melukis mural, projek berkebun, serta sesi pembelajaran Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik. Inisiatif ini bukan sahaja menceriakan persekitaran sekolah, malah mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih menyeronokkan dan berkesan.

Guru Besar SK Kuala Salong, En. Pitoh @ Lies bin Anguyong berkata, program tersebut bukan sahaja memberi peluang kepada murid di kawasan pedalaman merasai suasana pembelajaran berimpak melalui aktiviti yang menghiburkan, malah turut memberi inspirasi serta semangat kepada mereka.
Program itu turut disemarakkan dengan aktiviti silang budaya bersama masyarakat Kampung Balantos yang memperkenalkan tradisi Murut serta promosi tarikan pelancongan Air Terjun Kabulongou, sekali gus mengukuhkan jalinan perpaduan dan membuka ruang interaksi masyarakat pedalaman dengan dunia luar.

Pihak pentadbiran SK Kuala Salong merakamkan penghargaan kepada sukarelawan yang gigih melaksanakan program meskipun berdepan cabaran seperti ketiadaan capaian Internet stabil serta masalah bekalan elektrik dan air.
Program itu ditutup dengan Majlis Perpisahan dan Pelancaran Bulan Kebangsaan di Dewan Terbuka SK Kuala Salong yang dihadiri guru, murid serta penduduk sekitar.
Penolong Kanan Pentadbiran SK Kuala Salong berkata, JIWA 3.0 sekali lagi membuktikan bahawa semangat, iltizam dan kemanusiaan mampu merentasi segala cabaran, seterusnya membina jambatan hati yang menghubungkan komuniti pedalaman dengan dunia luar.