KOTA KINABALU: 10 Ogos 2025 – Proses bedah siasat terhadap jenazah pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, di Hospital Queen Elizabeth (HQE) hari ini dijalankan dengan khidmat seorang pakar perunding patologi forensik dari Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Selangor.
Pakar tersebut, Dr. Khairul Anuar Zainun, mengetuai prosedur bersama Pakar Patologi HQE, Dr. Jessie Hiu, dibantu dua lagi pakar forensik. Kehadirannya disambut ratusan orang awam yang berkumpul di perkarangan hospital sejak awal pagi.
Proses yang dijadual bermula jam 9 pagi ditangguhkan sementara menunggu ketibaan Dr. Khairul Anuar pada jam 10.55 pagi. Ia dimulakan sekitar jam 11 pagi selepas pengecaman jenazah oleh ibu arwah dan taklimat ringkas dari pasukan perubatan kepada keluarga.
Bedah siasat dijangka mengambil masa empat hingga lima jam sebelum keputusan awal disampaikan kepada keluarga. Jenazah kemudian akan dibawa pulang ke Sipitang oleh pihak polis untuk pengebumian semula.
Penghantaran pakar dari Semenanjung dilihat sebagai langkah memastikan proses dijalankan secara telus, mengelakkan keraguan dan memenuhi keperluan keadilan.
Terdahulu, jenazah tiba di HQE sekitar jam 10.30 malam tadi selepas digali semula dari Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Sipitang, pada jam 7.30 malam. Sebelum ditempatkan di Jabatan Forensik Perubatan, jenazah menjalani Imbasan Tomografi Berkomputer (CT Scan) di Jabatan Radiologi.
Zara Qairina, 13, ditemui tidak sedarkan diri di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datuk Mustapha, Papar, pada 16 Julai lalu dan meninggal dunia keesokan harinya di HQE sebelum dikebumikan pada hari yang sama.
Sumber: Berita Harian
