Tuaran, 6 Julai 2025 – Seorang lelaki berusia 39 tahun maut selepas dilanggar sebuah kenderaan dalam kejadian langgar lari di Kampung Bakut, Jalan Tuaran, Kota Kinabalu pada 5 Julai lalu.
Mangsa dilaporkan sedang melintas jalan sebelum dirempuh. Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala, patah tangan kiri serta luka di seluruh badan, dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tuaran.
Pemandu kenderaan terbabit melarikan diri dari lokasi kejadian. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beberapa individu telah dipanggil bagi dirakam percakapan, manakala orang awam yang mempunyai maklumat diminta tampil untuk membantu siasatan dengan menghubungi pihak polis atau hadir ke balai berdekatan.
Orang ramai juga dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati ketika melintas jalan, terutama di kawasan berisiko tinggi.
Sumber, Kenyataan Media