Kes Influenza di Kelantan Meningkat, 514 Kes Direkodkan Babit Lima Kluster

KOTA BHARU: 8 Oktober 2025 – Sebanyak 514 kes influenza membabitkan lima kluster dilaporkan di Kelantan sejak awal tahun ini, menunjukkan peningkatan berbanding tempoh sama tahun lalu yang tidak mencatatkan sebarang kluster.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr. Zaini Hussin, berkata semua kluster berkenaan melibatkan institusi pendidikan dan membabitkan pelajar sekolah.

Beliau menjelaskan keadaan masih terkawal serta tiada pesakit mengalami jangkitan serius. Beliau berkata peningkatan kes berlaku kerana pada tahun lalu tiada kluster direkodkan, manakala pada tahun ini sebanyak lima kluster telah dikesan dalam kalangan pelajar sekolah.

Beliau juga menasihatkan individu yang mempunyai gejala supaya memakai pelitup muka, walaupun ia tidak diwajibkan, sebagai langkah pencegahan penularan.

Selain itu, pihak sekolah diminta memantau kesihatan murid dan memberi penerangan kepada ibu bapa tentang kepentingan penjagaan kesihatan bagi mengelakkan jangkitan.

Dr. Zaini turut mengingatkan individu yang tidak mempunyai urusan penting supaya mengelak daripada berada di tempat sesak dan segera mendapatkan rawatan jika menunjukkan tanda-tanda jangkitan influenza.

Beliau menjelaskan, sekiranya kluster dikesan di asrama atau sekolah, keputusan untuk penutupan premis akan dibuat oleh Kementerian Pendidikan berdasarkan penilaian keadaan semasa.

Sumber: Buletin TV3

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal