JOHOR BAHRU: 29 Oktober 2025 – Polis tidak menolak kemungkinan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang cedera parah akibat dikelar di Kampung Parit Nipah Laut, Batu Pahat, telah dicederakan oleh abangnya sendiri berusia sembilan tahun akibat pengaruh permainan video dalam talian.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata dalam beberapa laporan media tempatan, siasatan awal mendapati suspek dipercayai bertindak demikian selepas berang apabila permainan dalam talian Roblox miliknya terganggu hingga menyebabkan kehilangan kira-kira sejuta mata terkumpul (points) selepas mangsa dikatakan merosakkan telefon bimbitnya.
Menurut beliau, suspek dipercayai mengalami halusinasi pada waktu malam akibat pengaruh permainan itu dan seolah-olah diarahkan untuk mencederakan ahli keluarganya sebelum bertindak menyerang adiknya menggunakan pisau yang terdapat di dalam rumah namun bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa motif sebenar masih dalam siasatan lanjut.
Terdahulu, kes ini pada awalnya dikaitkan dengan cubaan samun, namun hasil siasatan mendapati tiada unsur pecah rumah atau kehilangan barangan, sebaliknya mangsa dipercayai cedera akibat serangan oleh ahli keluarga sendiri dan mangsa kini dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) dilaporkan stabil serta sudah boleh bercakap.
Polis turut menahan kedua ibu bapa kanak-kanak berkenaan, masing-masing berusia 40 tahun, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Mangsa dan abangnya kini ditempatkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tujuan perlindungan.
Ibu pejabat polis daerah batu pahat dalam kenyataannya pada isnin lalu menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian itu bagi mengelakkan kekeliruan serta tidak menjejaskan siasatan yang masih dijalankan.

