LAHAD DATU: 19 Julai 2025 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Lahad Datu kini giat menjalankan siasatan terhadap tiga kes jenayah sosial berasingan yang menggemparkan masyarakat tempatan dalam tempoh dua hari, melibatkan kes pembuangan bayi, kegiatan pelacuran dan aktiviti perjudian dalam talian.
Dalam kejadian pada 18 Julai lalu sekitar jam 3:06 pagi, seorang bayi lelaki yang masih hidup ditemui ditinggalkan di hadapan sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Burung, Jalan Bakawali, Lahad Datu. Bayi tersebut dipercayai ditinggalkan oleh individu tidak dikenali sebelum diselamatkan dan dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut. Keadaan bayi kini dilaporkan stabil.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi dengan niat untuk membuangnya secara kekal. Jika disabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, operasi Op Noda yang dijalankan pada 17 Julai sekitar jam 10:30 malam oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Lahad Datu di sebuah hotel di Bandar Lahad Datu telah berjaya menahan seorang wanita tempatan berumur 21 tahun yang disyaki menawarkan khidmat seks melalui aplikasi MiChat, dengan mengenakan bayaran antara RM250 hingga RM350 bagi setiap perkhidmatan.
Polis turut merampas sebuah telefon bimbit, beberapa keping kondom dan wang tunai. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.
Dalam kes berasingan, seorang lelaki tempatan berumur 24 tahun ditahan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Lahad Datu sekitar jam 2.30 petang pada 17 Julai di Lorong Lahad Datu Square 1 kerana menjalankan kegiatan perjudian atas talian.
Polis turut merampas satu unit telefon pintar yang mengandungi aplikasi berkaitan aktiviti perjudian, dan kes disiasat di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. Jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda antara RM10,000 hingga RM100,000 dan penjara tidak melebihi lima tahun.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Haji Dzulbaharin Bin Haji Ismail menegaskan bahawa pihaknya memandang serius semua bentuk jenayah sosial yang boleh mengancam kesejahteraan masyarakat.
Dalam satu kenyataan media bertarikh 18 Julai 2025, beliau menyatakan ketegasan tanpa kompromi akan diambil demi menjamin keselamatan dan keharmonian komuniti setempat.
PDRM turut menyeru masyarakat agar menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah bagi membantu usaha pencegahan dan pembanterasan jenayah di daerah ini.
Sumber: Polis Daerah Lahad Datu