KOTA KINABALU: 11 Mac 2026 – Sabah Oil & Gas Development Corporation (SOGDC) dan SEDCO Mining Sdn. Bhd. memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuhkan pembangunan industri di Sabah, khususnya di Sipitang Oil and Gas Industrial Park (SOGIP) dan Sawit Kinabalu Sandakan Industrial Park (SKSIP).

Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Ewon Benedick berkata kerjasama strategik antara dua syarikat berkaitan kerajaan di bawah kementeriannya itu dijangka menarik lebih banyak pelaburan industri ke kawasan berkenaan.
Jelasnya, inisiatif itu seiring dengan Halatuju Sabah Maju Jaya 2.0 dan Wawasan Sabah First, menekankan pendekatan bersepadu dalam pembangunan ekonomi negeri.

Katanya, dengan mengoptimumkan sumber dan peluang pelaburan, kerjasama itu dijangka memudahkan penyelarasan dasar dan perundangan, di samping menggalakkan semangat berpasukan antara agensi pembangunan negeri.
Tambahnya, kerjasama itu juga membuka ruang kepada pembangunan lebih komprehensif di SOGIP termasuk potensi penambakan tanah bagi meluaskan kawasan pembangunan industri pada masa hadapan.

Selain itu, usaha mendalamkan laluan masuk perkapalan ke SKSIP dijangka meningkatkan keupayaan pelabuhan menerima kapal bersaiz lebih besar, sekali gus memperkukuh rantaian bekalan dan kedudukan Sabah sebagai hab industri dan perdagangan serantau.
MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif SOGDC Mohd Azmir Ramli dan Ketua Pegawai Eksekutif SEDCO Mining Shamsul Bahri Johari di Hyatt Regency Kinabalu dengan disaksikan oleh Ewon dan beberapa pemimpin dan pegawai kanan kerajaan negeri.
Sumber: Media DEB
