Kerjasama JWP dan SPRM perkukuh agenda antirasuah dan pentadbiran Wilayah Persekutuan

Gambar Hannah Yeoh MACC

KUALA LUMPUR: 4 Januari 2025 – Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) mengukuhkan pendirian sifar toleransi terhadap rasuah dan salah guna kuasa apabila buat pertama kali membuka akses kerjasama menyeluruh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai langkah proaktif memperkukuh tadbir urus pentadbiran Wilayah Persekutuan.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh memaklumkan bahawa kerjasama itu bertujuan meningkatkan keupayaan pengesanan, pencegahan dan tindakan terhadap sebarang salah laku integriti, di samping memastikan sistem pentadbiran sentiasa tertakluk kepada pemantauan serta penambahbaikan berterusan.

Hannah menjelaskan bahawa sebagai langkah awal, JWP akan memeterai Nota Kerjasama bersama SPRM bagi mewujudkan kerjasama lebih sistematik dan berkesan dalam memperkukuh tatakelola, integriti serta agenda pencegahan rasuah melibatkan semua agensi di bawah seliaannya, termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Perbadanan Putrajaya, Perbadanan Labuan, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu dan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan.

Katanya, skop kerjasama itu merangkumi perkongsian maklumat dan kepakaran dalam pengesanan serta pengesahan aduan, penyaluran maklumat berkaitan jenayah rasuah, khidmat nasihat penambahbaikan sistem dan tatacara kerja, selain latihan peningkatan kemahiran serta kompetensi dalam pencegahan rasuah dan pengukuhan tadbir urus serta penguatkuasaan.

Dalam masa sama katanya, beberapa langkah penambahbaikan dalaman turut dilaksanakan bagi mengurangkan risiko pelanggaran integriti, termasuk pusingan kerja yang lebih kerap bagi pegawai lapangan dan jawatan sensitif, penambahbaikan pengurusan perolehan melalui pelaksanaan proses sebut harga dan tender sepenuhnya secara dalam talian, serta penggunaan kamera badan oleh anggota penguat kuasa secara berfasa mulai suku keempat 2026.

Menurutnya, JWP juga akan menilai semula penarafan risiko di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan bagi memperkukuh peranan Unit Integriti serta memastikan kawalan dalaman lebih berkesan.

Hannah berkata, usaha meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti ini dilihat sebagai langkah penting dalam memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi awam, sekali gus menegaskan komitmen kerajaan bahawa agenda antirasuah dilaksanakan secara menyeluruh melalui tindakan yang berstruktur dan berterusan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal