Kerjasama Erat Komponen GRS Memastikan Kemenangan di Tulid – Joachim

KENINGAU: 21 Julai 2025 – Semua jentera dan ahli Parti Bersatu Sabah (PBS) digesa untuk memperkukuh hubungan dengan komuniti setempat serta bekerjasama erat dengan komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, kesepakatan dalam GRS perlu diterjemahkan secara menyeluruh di semua peringkat, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tulid yang menjadi antara kerusi penting bagi gabungan itu.

Menurut beliau, konvensyen yang telah dilaksanakan sebelum ini menjadi bukti kepada keserasian antara parti-parti dalam GRS, dan kerjasama yang telah terjalin harus diteruskan demi kejayaan gabungan tersebut.

Dr. Joachim turut menegaskan komitmen PBS dalam menyokong sebarang keputusan yang dibuat oleh kepimpinan tertinggi GRS, termasuk pemilihan calon untuk bertanding di kerusi Tulid.

Beliau menyuarakan keyakinan bahawa kerusi Tulid akan terus kekal di bawah GRS sekiranya jentera parti bekerja keras dan mengekalkan semangat perjuangan dalam memastikan suara rakyat terus dibela.

Dalam masa sama, beliau turut menghargai usaha Ketua Bahagian PBS Tulid, Datuk Suman Yasambun atas kejayaan menganjurkan mesyuarat parti yang memperkukuhkan semangat perpaduan di peringkat akar umbi.

PBS kini dilihat memainkan peranan penting dalam strategi GRS menjelang PRN Sabah, khususnya dalam memperkukuh kehadiran gabungan itu di kawasan pedalaman.

Sumber: Sabah News Today

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal