Kerajaan peruntuk RM47j bagi sekolah, badan agama bukan Islam tahun ini.
KENINGAU: Kerajaan Negeri memperuntukkan lebih daripada RM47 juta untuk membantu membangun sekolah dan badan-badan keagamaan bukan Islam di Sabah sepanjang tahun 2022.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan yang menyampaikan bantuan itu berkata, sebanyak RM20 juta diperuntukkan bagi Sekolah Menengah Persendirian Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan, SK/SM (Mission) dan tadika.
Selebihnya sebanyak RM27 juta diperuntukkan bagi badan-badan keagamaan bukan islam.
“Bagi Zon Keningau, sejumlah RM2.73 juta diluluskan untuk sekolah-sekolah iaitu RM570,000 untuk dua sekolah, iaitu Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK), RM1,575,000 untuk 10 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJK (C)), RM510,000 untuk sembilan Sekolah Rendah/Menengah kebangsaan (Mission) (SRK/SMK) dan RM84,000.00 untuk 11 tadika.”
Kata Kitingan, bagi pembangunan dan pembaikan badan badan keagamaan bukan islam, sejumlah RM2.96 juta diluluskan iaitu RM2.17 juta untuk gereja-gereja, RM740,000 untuk 17 tokong dan RM50,000 untuk sebuah kuil hindu/sikh.
“Semoga bantuan kewangan ini dapat meringankan beban dalam membangun dan membaiki sekolah serta rumah ibadat yang terbabit dan memberi keselesaan dan manfaat kepada rakyat bukan islam,” katanya.
Dalam hal ini katanya, kerajaan GRS sentiasa menekankan dasar keadilan dan kesaksamaan dengan membantu rakyatnya tanpa mengira bangsa dan agama.
Beliau juga berharap dengan sumbangan tahunan ini, sekolah dan badan keagamaan bukan islam dapat menampung kos operasi harian, menjalankan program berkaitan serta menambah baik institusi masing-masing.
“Institusi pendidikan amat penting untuk melahirkan modal insan yang berilmu dan berpengetahuan dan badan keagamaan memainkan peranan penting dalam memupuk nilai mulia di kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama di Sabah,” tambahnya.
Kitingan yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan berkata demikian dalam ucapannya di majlis penyerahan bantuan kewangan kerajaan negeri kepada sekolah dan badan-badan keagaamaan bukan Islam, Tahun 2022 bagi Keningau.
Turut hadir Pengerusi Sabah Energy Corporation Sdn Bhd, Datuk Annuar Ayuub Aman, Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Flovia Ng, dan Pengerusi Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Jenis Kebangsaan Zon Pedalaman Atas Wong Tai Ming.
– Tv Sabah News
0 Comments