Keputusan Tuntuan 40% akan dibuat pada 30 Jun 2025

Oleh David E.G.

KOTA KINABALU: 21 Mac 2025 – Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan dalam sidang akhbar hari ini berkata keputusan mengenai hak Sabah ke atas 40% hak bersih akan dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (JPKTPA-MA63), 30 Jun, seperti yang telah dipersetujui dalam mesyuarat terakhir yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, pada 14 Mac yang lalu.

“Kita telah meminta kerajaan persekutuan untuk memberikan kami angka-angka, data, sebanyak 13 kali, tetapi mereka belum memberikan maklum balas. Kita tidak boleh menunggu lagi,” katanya.

Sebaik sahaja keputusan dicapai, hasilnya akan diserahkan kepada Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTP-MA63), majlis utama yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk kelulusan akhir.

Hak ke atas 40% sentiasa menjadi pertikaian antara Sabah dan kerajaan persekutuan. Sabah telah bertahun-tahun menuntut hak ke atas 40% daripada hasil bersih yang dikutip dari Sabah oleh persekutuan, berdasarkan jaminan yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Perkara ini juga termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 112C dan Bahagian IV Jadual Kesepuluh yang menyatakan secara jelas bahawa Sabah berhak mendapat dua perlima daripada hasil yang dikutip oleh kerajaan persekutuan dari Sabah.

Jelasnya, pemberian RM600 juta hanyalah interim atau bayaran sementara dan bukan jumlah muktamad sebenar.

“Rakyat sedang menunggu. Jika kita mendapat apa yang sepatutnya kita perolehi, kita boleh membangunkan negeri ini dengan lebih cepat dan menyelesaikan masalah kita dengan lebih berkesan,” katanya.

Selain itu katanya, Sabah telah pun meningkatkan pendapatannya sendiri, dari RM4.3 bilion ke RM7 bilion dalam tempoh yang singkat.

Menurutnya, 40% boleh melonjakkan angka itu lebih tinggi lagi.

Kitingan menegaskan bahawa peruntukan pembangunan RM6.7 bilion yang diterima setiap tahun itu sebahagian besarnya diuruskan oleh agensi persekutuan, dan kebanyakannya dikembalikan tanpa digunakan, menyebabkan sebahagian besar Sabah kurang membangun dan banyak daerahnya menghadapi masalah kemiskinan.

“Setiap tahun, kita lihat separuh, atau lebih, dikembalikan kerana ia tidak dilaksanakan. Itulah sebabnya kita memerlukan wang kita sendiri dikembalikan,” katanya.

Justeru katanya, Sabah memohon supaya dana persekutuan yang tidak sempat digunakan, disimpan dalam amanah negeri untuk memastikan ia digunakan sepenuhnya.

Jelasnya lagi, penceritaan kononnya “Sabah mendapat bahagian terbesar daripada pembangunan persekutuan,” seperti yang sering ditunjukkan oleh menteri-menteri persekutuan dari Semenanjung, adalah sesuatu yang mengelirukan rakyat.

“Itu tidak benar. Daripada RM90 hingga RM100 bilion, Sabah dan Sarawak bersama-sama hanya mendapat 10 hingga 13 peratus. Semenanjung mendapat 80 hingga 90 peratus,” katanya.

Selain itu katanya, Sabah juga menyasarkan pengambilan semula 10% duti eksport dan import ke atas petroleum, yang mampu menjana RM100 bilion setiap tahun. Bayaran itu pernah dibuat tetapi dihentikan pada tahun 2007, dengan alasan pengharmonian perdagangan ASEAN, walaupun duti itu tidak pernah dimansuhkan secara rasmi.

Namun katanya, tuntut 40% harus didahulukan sementara tuntutan-tuntutan lain akan menyusul kemudian.

G-Admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

TV Sabah | News Portal