Kepolisan Komuniti Kukuhkan Hubungan Masyarakat di Putatan

PUTATAN: 1 September 2025 – Program Santai Mahkamah Anak Negeri Daerah Putatan Bersama Masyarakat yang berlangsung di Dataran Pomoi hari ini berjaya menarik perhatian penduduk setempat dengan pelbagai pengisian melibatkan komuniti dan agensi keselamatan.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Ahli Parlimen P.173 Putatan dan ADUN N.24 Tg. Keramat, Datuk Shahelmey Yahya. Kehadiran beliau menzahirkan sokongan kerajaan negeri terhadap usaha memperkukuh jaringan kerjasama masyarakat dengan institusi penguatkuasaan.

Ketua Polis Balai Putatan, Inspektor Afizul Ag. Amin, turut hadir mewakili Ketua Polis Daerah Penampang. Kawalan keselamatan sepanjang program turut dipantau bagi memastikan kelancaran acara.

Antara pengisian utama ialah program Kepolisan Komuniti, Talk To Us, anjuran Balai Polis Putatan, yang memberi peluang penduduk setempat berinteraksi secara terus dengan pegawai polis.

Pendekatan itu membolehkan masyarakat menyuarakan isu semasa tanpa rasa kekok atau ragu-ragu, sekali gus memperkukuh kepercayaan terhadap pasukan keselamatan.

Selain itu, ruang komunikasi dua hala yang diwujudkan membuka peluang kepada orang awam menyalurkan maklumat penting untuk membantu pihak polis dalam usaha mencegah jenayah dan meningkatkan tahap keselamatan komuniti.

Inisiatif berteraskan kerjasama itu membuktikan bahawa kepolisan komuniti mampu menjadi jambatan kepercayaan antara masyarakat dan pasukan keselamatan, sekaligus menyokong aspirasi negeri ke arah persekitaran yang lebih aman dan harmoni.

Sumber: Polis Daerah Penampang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!


 

This will close in 5 seconds

TV Sabah | News Portal