Keningau Bebas ASF, Telupid Perkukuh Sektor Penternakan

Daerah Keningau diisytiharkan bebas African Swine Flu (ASF), sementara Daerah Telupid perkukuh sektor penternakan dengan perasmian bangunan DVS baharu.

TELUPID, 19 Jun 2025 – Berita baik untuk sektor penternakan Sabah apabila Daerah Keningau secara rasmi diisytiharkan sebagai Zon Hijau (zon pemulihan) bagi wabak Demam Babi Afrika (ASF).

Pengumuman dibuat selepas tiada kes positif dilaporkan sejak 12 Januari 2025, tarikh terakhir melibatkan seorang penternak babi kampung di Keningau dengan 20 ekor babi terjejas.

Langkah-langkah pencegahan pantas seperti pelupusan, kawalan pergerakan ternakan babi mahupun produk babi, dan kempen kesedaran dalam radius 10 kilometer dari lokasi kejadian, telah dilaksanakan dengan berkesan. Sehingga kini, tiada kes ASF baharu direkodkan di seluruh negeri Sabah.

Timbalan Ketua Menteri I Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan, dalam ucapan perasmian Bangunan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Telupid dan Majlis Kesedaran Umum Daerah Telupid hari ini menegaskan tentang komitmen kerajaan dalam melindungi industri penternakan Sabah.

“Sabah masih mengekalkan larangan kemasukan ternakan babi dan produk berasaskan babi dari Semenanjung Malaysia, Sarawak, dan negara-negara yang terjejas wabak, kecuali yang telah melalui Analisis Risiko dan memiliki lesen import sah daripada DVS Sabah,” jelas beliau.

Selain ASF, Jeffrey turut menekankan kepentingan kawalan Rabies, khususnya di kawasan sempadan. Vaksinasi Rabies giat dijalankan ke atas anjing dan kucing dalam radius 30 kilometer dari sempadan Sarawak dan Kalimantan, memandangkan kedua-dua wilayah tersebut masih endemik.

“Pencegahan dan vaksinasi adalah kritikal kerana Rabies merupakan penyakit zoonotik yang membawa maut kepada manusia,” tegasnya.

Perasmian bangunan DVS Telupid baharu diharapkan dapat meningkatkan penyampaian perkhidmatan teknikal, pemvaksinan, khidmat nasihat, penguatkuasaan, dan pemantauan kesihatan ternakan secara sistematik di daerah tersebut.

“Kerajaan tidak akan berkompromi dalam aspek keselamatan makanan, biosekuriti, dan kebajikan haiwan. Ini adalah asas kepada kestabilan rantaian makanan negeri dan negara,” ujar Jeffrey.

Beliau turut percaya Telupid berpotensi menjadi model pembangunan komuniti ternakan luar bandar yang mampan.

Berdasarkan data DVS, Telupid mempunyai populasi ternakan yang aktif termasuk 280 ekor lembu pedaging, 35 ekor kerbau, 3,500 ayam pedaging, 2,500 ayam penelur, 2,500 itik, 58 ekor babi, dan 120 rumah walit berdaftar. Daerah ini juga memiliki ladang DVS sendiri sebagai tapak penternakan dan sumber latihan teknikal.

Dalam usaha meningkatkan taraf hidup komuniti dan menggalakkan pemulihan pendapatan pasca pandemik, lebih 1,000 anak ayam, 1,000 anak itik, dan 500 anak puyuh telah diagihkan melalui program bantuan. Program vaksinasi NDV4 yang melibatkan 41 kampung dalam 5 mukim turut menunjukkan keberkesanan.

Jeffrey menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis perasmian, sambil menegaskan kerjasama erat antara jabatan kerajaan, komuniti penternak, dan agensi lain sebagai kunci kejayaan bersama.

Pengarah DVS, Dr Mary Josephine S. Golingai berkata kewujudan pejabat itu bertujuan memastikan perkhidmatan veterinary lebih dekat dengan penternak, khususnya dalam aspek pemantauan kesihatan haiwan, pelaksanaan program vaksinasi, kawalan penyakit dan kebajikan haiwan.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri N.47 Telupid, Datuk Jonnybone J. Kurum berkata, kemudahan itu bukan sahaja penting untuk pembangunan industri ternakan, malah ia memberi impak secara langsung kepada aspek keselamatan makanan, kesihatan awam dan kebajikan haiwan.

Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Leonard Stephen Poyong, dan Penolong Pengarah Kanan DVS Wilayah Sandakan, Dr Resya Soffiana Yassin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal