Kenapa telefon bimbit tidak dibenar masuk dalam bilik mengundi?
PENAMPANG: Peraturan baru yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang melarang pengundi membawa masuk telefon bimbit dalam petak mengundi mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai.
Ramai skeptikal dengan peraturan baru itu dan mempersoalkan motif peraturan baru itu dibuat. Adakah SPR cuba menyembunyikan sesuatu di petak mengundi hingga ia tidak mahu dirakamkan? Atau adakah ia bertujuan untuk keselamatan pengundi dan pegawai bertugas?
“Idea ini bodoh. Kenapa tidak nasihatkan sahaja pengundi untuk memadam telefon ketika berada dalam bilik mengundi,” soal seorang netizen menambah bahawa mereka tidak juga teruja untuk mengambil gambar ketika berada dalam petak itu.
Namun ramai juga setuju dengan langkah itu kerana mereka yang mahu ‘membeli’ undi memerlukan mereka yang ‘menjual’ undi mengambil gambar undi selepas memangkah sebagai bukti.
Menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 3 Akta Kesalahan Pilihan Raya untuk menunjukkan undi yang ditanda kerana undi adalah rahsia.
Pesalah boleh dipenjara sehingga 2 tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
Semalam, SPR mengeluarkan peraturan yang harus diikuti pengundi dalam bentuk infografik.
Gambarajah itu menunjukkan 10 langkah bermula dengan pengundi memasuki bilik sehinggalah ke langkah keenam di mana telefon perlu ditinggalkan atas meja yang dipantau seorang petugas.
SPR memuat naik Infografik itu dalam aplikasi Facebook. Namun, ruangan komen ditutup mungkin dengan tujuan untuk tidak menerima sebarang komen daripada netizen. Bilik mengundi juga akan dilekat poster larangan membawa telefon bimbit.
Menurut kenyataan SPR, langkah itu dibuat sebelum pengundi pergi ke petak undi bagi menanda calon pilihan masing-masing pada ruang kosong bersebelahan nama dan simbol calon pada kertas undi dengan menggunakan pen.
Namun pengundi dibenarkan mengambil semula telefon bimbit setelah memasukkan kertas undi dalam peti.
Sebelum ini Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) Tun Dr Mahathir Mohamad meminta SPR mengenakan larangan membawa telefon dalam bilik mengundi kerana menurutnya membawa gajet itu semasa mengundi boleh menidakkan rahsia pengundi dan mendorong parti menggunakan maklumat untuk sogokan.
– Tv Sabah News
0 Comments