KOTA KINABALU: 3 Februari 2026 – Kenaikan tarif elektrik sebanyak 15 peratus wajar dipertimbangkan sekiranya ia disusuli dengan penambahbaikan menyeluruh oleh Sabah Electricity (SE), khususnya dalam aspek pengurusan, keupayaan teknikal dan sumber manusia, kata Ketua Exco Pemuda PBS, Datuk Christoper Mandut dalam satu kenyataannya hari ini.
Christoper memetik kenyataan media pada 31 Januari lepas mengenai pelaksanaan tarif elektrik baharu di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan bermula 1 Febaruari, dengan kadar purata tarif asas diselaraskan kepada 39.70 sen bagi setiap kilowatt jam (kWj) berbanding 34.52 sen/kWj sebelum ini.
Menurut beliau, selaras dengan itu, peningkatan kecekapan operasi amat penting bagi memastikan pengguna menerima perkhidmatan yang lebih baik dan stabil.
“Dengan kenaikan ini, saya mengharapkan pengurusan SE akan menjadi lebih cekap, jumlah tenaga kerja ditambah serta keupayaan teknikal dipertingkatkan bagi membantu mengurangkan gangguan elektrik yang sering berlaku,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa sebarang kenaikan tarif perlu memberi manfaat langsung kepada rakyat, terutama dari segi kebolehpercayaan bekalan elektrik dan kecekapan penyelenggaraan infrastruktur.
