KDCA Hongkod Koisaan Sedia Tempat Perlindungan Mangsa Banjir Kg. Kibabaig

PENAMPANG: 18 September 2025 – Seramai 18 penduduk Kampung Kibabaig, termasuk empat warga emas dan seorang bayi berusia empat bulan yang mempunyai masalah jantung, dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di KDCA Hongkod Koisaan, Selasa lalu.

Semua mangsa diselamatkan anggota bomba menggunakan bot pada tengah malam selepas paras air naik sehingga hampir mencecah bumbung rumah.

Mereka tiba di PPS dalam keadaan sehelai sepinggang, manakala harta benda dilaporkan musnah sepenuhnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pusat KDCA, Huguan Siou Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan bersama ahli-ahli pada hari ini telah membuat kunjungan untuk menziarahi mangsa-mangsa terlibat bagi menzahirkan rasa simpati dan sokongan moral untuk terus tabah menghadapi ujian yang melanda.

PPS yang ditempatkan di kedai cenderamata Hongkod Koisaan kini menempatkan 13 orang dewasa, empat warga emas serta seorang bayi.

Majlis Belia KDCA telah membantu dengan menyediakan makanan panas, pakaian, selipar, tilam dan cadar, selain barangan kebersihan diri seperti syampu, gel mandian serta berus dan ubat gigi.

Susu bayi, makanan kering seperti mi segera dan biskut, serta minuman panas turut diagihkan bagi memastikan keselesaan mangsa sepanjang berada di pusat perlindungan itu.

Keadaan paras air di beberapa kawasan di Penampang masih dipantau oleh pihak berkuasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal