KDCA Fokus Empat Tonggak Utama Perkukuh Kaamatan 2026

photo 2025 12 05 13 52 24

PENAMPANG: 5 Disember 2025 — Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA) menetapkan empat tonggak utama bagi memperkukuh penganjuran Pesta Kaamatan 2026, menekankan pengurusan yang lebih sistematik, pemartabatan makna Kaamatan, penglibatan belia serta pemerkasaan identiti Kadazandusun.

Timbalan Presiden merangkap Bendahari Agung KDCA, Bulawan Sigah Datuk Joseph Paulus Lantip, berkata Kaamatan bukan sekadar pesta tradisi, sebaliknya warisan rohani yang berakar daripada pengorbanan Huminodun, selain berfungsi sebagai tonggak budaya dan pengikat perpaduan masyarakat.

Menurutnya, KDCA yang semakin berkembang perlu memperkemas struktur organisasi dengan dokumentasi yang jelas, disiplin mesyuarat serta pelaksanaan terancang agar setiap jawatankuasa beroperasi secara lebih tersusun.

Kaamatan 2026 juga akan memberi penekanan kepada program berteraskan pendidikan budaya seperti seminar, bengkel bahasa, persembahan adat serta aktiviti penghayatan nilai tradisi bagi memastikan perayaan itu terus memiliki nilai mendalam dan tidak sekadar menjadi festival hiburan.

Beliau turut menekankan kepentingan penyertaan belia sebagai pewaris kepimpinan budaya melalui peranan sebagai koordinator, pencipta kandungan, penyelidik dan pemimpin muda komuniti menerusi platform KDCA Youth Council serta inisiatif akar umbi yang lain.

Pemerkasaan identiti Kadazandusun turut menjadi agenda utama penganjuran melalui usaha memperkasa bahasa, adat, seni muzik, warisan lisan dan nilai moral masyarakat.

Datuk Joseph menegaskan bahawa perpaduan dalam KDCA hanya dapat diperkukuh melalui penerapan nilai integriti, kerendahan hati, hormat serta komitmen terhadap perkhidmatan kepada komuniti.

Beliau berkata perancangan Kaamatan 2026 mesti berpaksikan dua prinsip utama iaitu mempertahankan inti dan jiwa Kaamatan serta memperkukuh peranannya sebagai jambatan perpaduan merentas daerah dan generasi, termasuk diaspora Kadazandusun di Semenanjung serta luar negara.

“Kaamatan adalah warisan, KDCA adalah amanah, dan generasi akan datang adalah tanggungjawab kita,” katanya sambil menyeru seluruh warga untuk melangkah ke Kaamatan 2026 dengan semangat perpaduan dan kepimpinan yang segar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal