Kaum Cina tidak pernah dipinggir
dalam kerajaan: Hajiji
SANDAKAN: Kerajaan tidak pernah pinggirkan kaum Cina dalam arus pembangunan walaupun tiada wakil mereka dilantik sebagai menteri atau pembantu menteri dalam Kabinet Negeri ketika ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, walaupun tiada wakil
masyarakat Cina namun mereka tetap diberi peranan penting dalam kerajaan menerusi lantikan tertentu.
“Memang hasrat saya mahu melantik pemimpin Cina dalam Kerajaan Negeri sebagai
menteri tapi dalam Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) yang lalu, tiada satu pun calon kita dalam kalangan kaum Cina yang menang”.
“Tetapi kali ini apabila tiba PRN kita akan bagi jawatan menteri dan pembantu menteri kepada pemimpin Cina yang menang,” katanya pada Ceramah Perdana Sandakan Ketua Menteri Bersama Rakyat di Dewan Hakka Sandakan, di sini, malam Rabu.
Pengerusi GRS ini menjawab tuduhan Presiden Parti Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mendakwa tiada wakil orang Cina dalam Kabinet Kerajaan Negeri GRS-BN ketika ini.
Hajjiji menjelaskan, Kerajaan Negeri ada melantik pemimpin Cina dalam jawatan penting Kerajaan Negeri termasuk dua bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Yong
Teck Lee dan Tan Sri Chong Kah Kiat.
Katanya, Kah Kiat dilantik sebagai penasihat beliau dalam bidang pelancongan, manakala seorang lagi pesara kerajaan mewakili masyarakat Cina dilantik sebagai
penasihat kewangan.
“Saya tubuh Majlis Penasihat Ekonomi Sabah dan ketuanya serta timbalannya adalah pemimpin masyarakat Cina yang berpengalaman dalam perniagaan dan banyak lagi
kita lantik”.
“Tapi Shafie cakap kenapa tidak lantik (Cina). Dia pun tahu pada PRN lalu kita tidak menang di kawasan Cina. Dia sengaja ungkit sentimen perasaan Cina, tapi saya yakin
masyarakat Cina bijak dan pandai menilai, tahu rasional apa juga yang kita lakukan,” katanya.
Hajiji berkata, sentimen seperti itu tidak seharusnya dimainkan dalam politik, semata-
mata untuk menarik sokongan kaum Cina.
Jelasnya, apa yang diutamakan ketika ini ialah usaha untuk memulihkan ekonomi dan memajukan Sabah.
“Dalam politik kita tidak boleh main sentimen, sebaliknya yang paling penting ialah
kita pulihkan ekonomi dan memajukan negeri.
“Saya mahu tanya Shafie, apa dia sudah buat ketika menjadi Ketua Menteri selama dua tahun dulu. Apa dia buat ketika menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah
dulu?”.
“Kelmarin saya ke Semporna, saya sedih dia (Shafie) cakap kita reset Sabah, tapi sepatutnya reset dulu Semporna itu. Bayangkan kebakaran pada 2015 semasa dia Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang ada kuasa buat rumah bantu mangsa kebakaran, dia tidak dapat lakukan”.
Hajiji memuji calon Kerusi Parlimen Semporna itu yang dianggapnya pintar apabila bercerita mengenai Sabah.
“Apa itu jawatan TPM, PM bah dia bilang. Tapi, tengok diri dulu, bagaimana sokongan kita. Di Sabah pun jadi kerajaan kerana ada orang ikut atau lompat, bukan dapat mandat rakyat”.
Menurutnya, Shafie jadi Ketua Menteri bukan atas mandat rakyat, tapi sokongan orang lompat menyokong beliau. Ini tidak sama dengan GRS-BN yang mendapat mandat daripada rakyat dalam PRN lalu.
– Tv Sabah News
0 Comments