KOTA KINABALU: 2 Disember 2025 – Pempengaruh dan usahawan terkenal, Adam Shamil, mengumumkan peluasan jenama makanan minumannya, Chunk & Dunk, ke wilayah Sarawak dengan pembukaan cawangan pertama di Vivacity Megamall pada 5 Disember 2025.
Pengumuman itu dibuat melalui satu hantaran di media sosialnya, menandakan langkah penting perkembangan perniagaan yang semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat makanan bergaya moden.
Menariknya, Adam memulakan perkongsiannya dengan sapaan dalam dialek Sarawak, katanya “untuk kitaorang di Sarawak, akhirnya sejarah akan dimolah, kamek dah sik sabar gik”.
Pembukaan ini sekali gus menandakan kemasukan rasmi jenama tersebut ke pasaran yang lebih luas di kepulauan Borneo, selepas menerima permintaan tinggi dari para pengikutnya di Sarawak. Adam menyifatkan pembukaan itu sebagai satu bentuk penghargaan kepada peminat yang sentiasa memberikan sokongan sejak awal.
“Anggap lah ini hadiah saya kepada orang Sarawak yang sentiasa menyokong perjalanan saya, dan yang sering mendoakan agar satu hari nanti Chunk & Dunk akan tiba di sarawak” katanya.
Chunk & Dunk dijangka menarik perhatian pengunjung Vivacity Megamall dengan menu unik yang menjadi identiti jenama tersebut, sekali gus membuka ruang kepada potensi pengembangan lebih besar di Sarawak pada masa akan datang.
