“Kada” Menambat Hati Pentas Akhir Sugandoi 2025

Share the news

Kota Kinabalu – “Kada”, tajuk kepada sebuah lagu ciptaan komposer terkenal dari Sabah, Benn Simon, telah menambat hati ramai ketika dihayati, diselami dan dipersembahkan dengan sepenuh hati oleh Pasqualeta di pentas akhir Sugandoi 2025.

Kehadiran lagu baharu dalam genre muzik tradisional yang masih berbentuk “experimental” itu bukan sekadar langkah karya seni yang berani tetapi juga mempersembahkan kekuatan dalaman seseorang ketika menghadapi cabaran dan masa depan kehidupan. Diilhamkan oleh kisah seorang insan yang pernah terluka namun tidak menyerah, “Kada” yang bermaksud “jangan” dalam bahasa Dusun, satu tema yang menyaksikan ketabahan dan pengharapan. Mesejnya jelas iaitu jangan berputus asa, jangan tunduk kepada kesakitan, dan jangan berhenti untuk mengimpikan.

Menurut Benn, “Kada” adalah suara bagi mereka yang pernah melalui kegelapan, tapi memilih untuk bangkit. Walaupun bukan dicipta semata-mata untuk pertandingan, Pasqualeta, tempat ketiga Sugandoi Negeri Sabah 2025, nekad mempertaruhkan lagu ini, dan ia merupakan satu langkah berani yang ternyata berbaloi. Penghayatan dan persembahan beliau yang penuh dengan keikhlasan, disertai suara yang lunak dan merdu, malah mencetus gelombang aura emosi seluruh dewan itu telah berjaya menambat hati para penonton dan juri, menjadikan “Kada” bukan sekadar untuk didengar, tetapi diselami, dan dihayati.

Gambar – Pasqualeta (Ketiga Sugandoi 2025) dan Benn Simon

“Pasqa memberikan jiwa sepenuhnya dalam persembahan pada pertandingan akhir itu. Persembahannya bukan nyanyian semata-mata, itu adalah penyampaian perasaan yang hidup. Lagu ini benar-benar ‘hidup’ di pentas Sugandoi,” ujar Benn.

Proses penghasilan lagu “Kada” mengambil masa sekitar enam bulan, bermula dari penulisan lirik, susunan melodi, hinggalah ke rakaman. Lagu ini merupakan hasil kerjasama erat antara Benn dan Pasqa sendiri, yang turut menyumbang dalam melodi dan vokal. Proses rakaman dilakukan di Benn’s Studio, bersama jurutera bunyi, Bob, yang memainkan peranan penting dalam menjayakan adunan akhir lagu tersebut.

Sebagai komposer, beliau menyatakan rasa bangganya terhadap peserta Sugandoi yang berani membawa lagu ciptaan sendiri. “Itu bukan mudah. Ia memerlukan keberanian, dan yang paling penting, keaslian. Lagu asli mencerminkan identiti, dan itu adalah kekuatan sebenar,” jelasnya.

Setakat ini, “Kada” boleh didengar menerusi rakaman siaran langsung semasa pertandingan akhir Sugandoi di laman rasmi TV Sabah dan persembahan eksklusif. Namun peminat tidak perlu menunggu lama, kerana lagu ini dijangka akan dimuat naik ke platform digital seperti YouTube dan Spotify tidak lama lagi.

Ditanya mengenai khabar angin bahawa beliau sedang menyiapkan lagu khas untuk juara Sugandoi 2025, komposer itu hanya tersenyum, “Buat masa ini, saya boleh katakan ada sesuatu yang sedang dibikin. Tapi biarlah ia jadi surprise dulu.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

TV Sabah | News Portal