Pada 24 Mei 2025, komuniti Kadazandusun di Perancis mencipta sejarah atas kejayaan penganjuran Pesta Kaamatan buat julung kalinya. Bertempat di l’Le Moulin de l’Esquirol, Le Pradet, yang terletak di daerah indah Provence-Alpes-Côte d’Azur, acara ini telah menjadi medan pertemuan yang penuh makna bagi anak-anak Sabah yang menetap di Eropah.
Inspirasi untuk menganjurkan Kaamatan di Perancis lahir selepas dua individu utama, Nicolas dan Alexandra, menghadiri sambutan Kaamatan di Sweden pada tahun sebelumnya. Mereka menyedari bahawa belum pernah diadakan sambutan Kaamatan berskala besar yang mengumpulkan warga Sabah dari seluruh benua Eropah. Maka, lahirlah idea untuk menubuhkan satu pasukan penganjur yang terdiri daripada ahli-ahli komuniti Kadazandusun di Perancis seperti Nicolas Decugis, Alexandra George, Elvena Podeur, Lydia Dolatowski, Fay Collomb, dan Vina Diego. Dengan semangat yang tinggi, mereka telah merancang selama setahun sebelum impian ini menjadi kenyataan.

Walaupun komuniti Kadazan Dusun di Perancis tidak dapat dipastikan bilangannya, kehadiran mereka nyata dirasai. Ramai yang sanggup datang dari jauh, termasuk dari United Kingdom, Sweden, Norway, Jerman, Switzerland, dan Austria. Suasana menjadi lebih meriah apabila peserta dapat berinteraksi menggunakan dialek Sabah, berkongsi kenangan, dan memperkukuh jalinan persahabatan.
Pelbagai aktiviti tradisional telah memeriahkan sambutan Kaamatan ini, antaranya tarian sumazau dan magunatip, serta pertandingan Sugandoi. Turut diadakan ialah pertandingan Zandi Tavanus dan Buvazoi Tavantang yang berjaya menarik perhatian ramai dengan keunikan pakaian dan persembahan peserta. Sukan tradisi seperti mipulos, tarik tali, dan lari dalam karung juga menjadi antara daya tarikan dalam sambutan yang meriah ini.

Hasil yang paling utama daripada penganjuran Kaamatan ini ialah terjalinnya jaringan persahabatan yang semakin meluas dalam kalangan warga Sabah di perantauan. Ia turut menjadi sebuah platform yang signifikan untuk membina sistem sokongan antara satu sama lain, di samping mampu memelihara identiti serta melestarikan tradisi KDMRS (Kadazandusun, Murut, Rungus, dan Sungai) meskipun berada jauh dari tanah air.

Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penaja yang telah menyumbang dalam pelbagai bentuk, antaranya Sabah Tourism Board, Maison Chelle, Katrina Neal, Nelda, Carolyn, Dusun Boy Bridal, Claudette Mollier, Maryse Podeur, Bake With Love, dan Anne Ravera. Turut dihargai ialah Kee Gawah dari Sweden yang membantu dalam penyediaan makanan serta Mike Heldon dari UK yang menyumbangkan sistem siaraya.
Elvena Podeur, Juara Pertandingan Sugandoi sempat menitipkan ucapan, “Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan kepada seluruh warga Sabah di mana jua anda berada. Mari kita kekalkan semangat dan tradisi Kaamatan walaupun jauh dari kampung halaman.”

Acara ini membuktikan bahawa Kaamatan itu adalah perayaan untuk semua, selari dengan tema yang dibawakan pada tahun ini. Kaamatan di Perancis bukan sekadar satu sambutan, tetapi wadah yang tepat untuk memperkenal identiti KDMRS kepada masyarakat luar negara, di Perancis khususnya.