Kaamatan ke Arah Global: Pairin Kitingan Seru Pemerkasaan Tradisi dan Keaslian.

photo 6167810287214463850 w

KOTA KINABALU: 5 Disember 2025- Presiden Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA), Huguan Siou Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan, menyeru agar tradisi dan keaslian Pesta Kaamatan terus diperkasakan.

Beliau berkata ketika berucap pada majlis penutupan Kaamatan Reflection Day 2025 di Dewan Tan Sri Pairin, KDCA Hongkod Koisaan, hari ini.

Acara tersebut dianjurkan bersempena Hari Penghayatan Budaya dan Warisan oleh KDCA dengan kerjasama TV Sabah.

photo 6167810287214463849 w

Dalam ucapannya, Pairin menzahirkan rasa syukur atas kelancaran penganjuran program yang disifatkannya penuh makna. Beliau menekankan bahawa sesi interaktif Kaamatan yang diadakan amat penting sebagai asas usaha KDCA untuk membawa sambutan Pesta Kaamatan ke tahap lebih tinggi.

Beliau turut berharap sesi berkenaan telah berjaya mengumpulkan idea baharu dan inovatif bagi memperkukuh pelaksanaan program serta memartabatkan budaya Kadazan Dusun.

Menurutnya, para peserta bengkel diyakini telah membincangkan penubuhan garis panduan yang lebih jelas berhubung aspek perayaan Kaamatan, termasuk perkara yang wajar dan tidak wajar dilakukan.

photo 6167810287214463851 w

Langkah tersebut katanya penting bagi memastikan sambutan kekal berteraskan nilai hormat, keaslian tradisi serta mengelakkan salah tafsir dalam kalangan masyarakat.

Pairin juga menegaskan bahawa usaha membawa Pesta Kaamatan ke peringkat piawaian antarabangsa bukan bertujuan mengubah maksud atau jiwa sebenar perayaan itu.

Sebaliknya, ia bertujuan memperkayakan serta memperluas program agar budaya Kadazan Dusun dapat dihargai dan dihormati secara lebih meluas, baik di peringkat tempatan mahupun global.

Beliau yakin komitmen semua peserta program akan terus menyuburkan warisan budaya dan meningkatkan penghargaan masyarakat, termasuk para pelancong, terhadap tradisi Kaamatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal