Kaamatan Inanam mencerminkan perpaduan sejati berbilang kaum

Share the news

INANAM, 18 Mei: Sambutan Tadau Kaamatan peringkat daerah Inanam tahun ini disambut dengan penuh meriah dan amat bermakna, mencerminkan semangat perpaduan sejati dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Sabah, khasnya di daerah ini.

Sambutan ini menzahirkan erti tema tahun ini, “Kaamatan Untuk Semua”, yang mengangkat nilai kebersamaan, keharmonian dan penghormatan terhadap warisan budaya tradisional suku kaum Kadazandusun, Murut dan Rungus (KDMR).

Lebih istimewa, acara ini telah disempurnakan oleh tokoh tersohor Sabah, Huguan Siou Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, yang juga Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA).

Kehadiran beliau bukan sahaja memberi makna simbolik yang mendalam kepada perayaan ini, malah memperkukuh mesej penyatuan dan keharmonian antara etnik dan budaya di negeri ini.

Pelbagai aktiviti kebudayaan telah diadakan sepanjang program, termasuk pertandingan minuman tradisi (tapai) terbaik, pertandingan makanan tradisi dan pertandigan tarian tradisi (sumazau) dan paluan gong.

Sementara itu, acara padang yang diadakan di pekan Manggatal menyaksikan acara pertandingan sukan tradisi termasuk pertandingan tarik tali, mipulos (gusti lengan) lelaki dan wanita, monopuk (menyumpit) dan melastik.

Penyertaan dan kehadiran komuniti di setiap acara tersebut membuktikan semangat kesatuan masyarakat berbilang kaum di Inanam.

Acara perasmian dimulakan dengan gimik “mongomot” (menuai padi) dan “magavau” oleh Persatuan Bobohizan Sabah. Magavau ialah satu ritual suci menghormati semangat padi dalam budaya Kadazandusun, sekaligus mengukuhkan keaslian dan nilai spiritual sambutan kaamatan.

Selain itu, majlis diserikan dengan persembahan tarian tradisional, jualan makanan etnik dan cabutan bertuah – yang telah menarik perhatian ramai pengunjung dari pelbagai kaum.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Mustapha Sakmud, wakil rakyat Inanam Datuk Peto Galim, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Roland Chia, wakil rakyat Darau Azhar Matussin, Steven Beliku dan Datuk William Majimbun.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Mustapha Sakmud berkata, “Tema Kaamatan Untuk Semua, meyerlahkan semangat keterangkuman, yang mana pesta ini bukan saja untuk satu kaum atau komuniti, tetapi untuk semua rakyat Sabah tanpa mengira latarbelakang budaya, agama atau kaum.

“Kaamatan adalah lambang warisan, semangat gotong royong dan kekuatan komuniti. Ia bukan saja merayakan hasil tuaian tetapi juga menyatukan kita sebagai rakyat Sabah. Dalam suasana seperti ini – di Inanam, Karambunai dan Darau – kita lihat bagaimana budaya dapat menjadi jambatan perpaduan,” katanya.

Majlis mengakhiri kemuncak sambutan kaamatan itu dengan pengumuman Ivy Davina David dinobatkan sebagai Unduk Ngadau Inanam, naib johan jatuh kepada Unduk Ngadau Karambunai, Jaclyn Ashley Honorius Jillu, diikuti tempat ketiga hingga lima Fify Elvianna Hawang, Fillonie Francis Debully dan Kimberley Lim.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

TV Sabah | News Portal