Jualan MADANI koperasi dan usahawan ringankan beban rakyat menjelang Aidilfitri

IMG 20260314 WA0134

BONGAWAN: 14 Mac 2026 – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensinya, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) terus komited membantu rakyat menangani kos sara hidup melalui Program Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan (JMKU).

IMG 20260314 WA0133

Program berkenaan menawarkan penjimatan harga barangan keperluan asas sehingga 30 peratus, khususnya bagi membantu masyarakat membuat persediaan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Majlis perasmian program yang berlangsung di Perkarangan Tamu Mingguan Bongawan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi YB Datuk Mohamad Bin Alamin. Inisiatif tersebut merupakan sebahagian dari komponen strategik di bawah agenda “Hebatkan Perniagaan Malaysia”.

IMG 20260314 WA0137

Sejak dilaksanakan pada tahun 2023, JMKU bertujuan mempromosikan konsep berkoperasi sebagai model pembangunan ekonomi kolektif yang inklusif. Selain memperkasa peranan koperasi sebagai operator jualan, program itu juga selaras dengan pendekatan “Rahmah” kerajaan dalam membantu mengurangkan kos perbelanjaan harian rakyat, khususnya golongan B40 dan miskin tegar.

Menurut Mohamad, penganjuran JMKU selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai kesejahteraan rakyat. Di samping memastikan kestabilan harga barangan, program ini turut berfungsi sebagai instrumen intervensi kerajaan dalam menangani tekanan kos sara hidup, terutama pada musim perayaan.

Sebagai rekod, sebanyak 26 siri JMKU telah dilaksanakan di seluruh Sabah pada tahun 2025 dengan mencatatkan jumlah jualan sebanyak RM1.24 juta, sekali gus memberi manfaat kepada 31,115 penduduk.

Bagi tahun 2026, dua siri program telah berjaya diadakan di Kinabatangan dan Kimanis. Siri seterusnya berlangsung di Bongawan, manakala pada 15 Mac program akan diteruskan di Perkarangan Pasar Tamu Mingguan Membakut.

Pencapaian konsisten program ini membuktikan keberkesanan koperasi dalam mengimbangi objektif komersial dengan tanggungjawab sosial, selain meningkatkan penglibatan aktif koperasi dalam aktiviti ekonomi setempat di Sabah.

KUSKOP akan terus memastikan rakyat mendapat akses kepada barangan keperluan pada harga berpatutan tanpa menjejaskan kelestarian usahawan koperasi, selaras dengan semangat Malaysia MADANI.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal