Jualan Agro MADANI Bantu Rakyat Jimat Belanja, Luaskan Pasaran Hasil Tani Tempatan

Gambar Arthur Menjawab Di Parlimen

KUALA LUMPUR: 12 September 2025 – Program Jualan Agro MADANI yang dilaksanakan sejak April 2023 terus memberi kesan positif kepada rakyat dan usahawan tempatan melalui penjimatan harga barangan asas serta peluasan pasaran hasil tani.

Ketika menjawab soalan di Parlimen yang berlangsung pada 10 September 2025, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup menegaskan bahawa program berkenaan turut dibawa ke kawasan terpencil termasuk Pagalungan, Sabah. Jelasnya, program tersebut membuktikan usaha kerajaan untuk memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada menerima manfaat dan perhatian yang sewajarnya.

Sehingga Ogos 2025, sebanyak 13,484 program telah dianjurkan di seluruh negara dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM). Pelaksanaan meliputi kawasan berpenduduk padat seperti kompleks kerajaan, outlet agensi KPKM, kawasan perumahan, bandar, dan pinggir bandar.

Melalui Jualan Agro MADANI, harga barangan asas terpilih ditawarkan antara 10% hingga 30% lebih rendah daripada pasaran. Inisiatif ini membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup, di samping menggalakkan penggunaan produk tempatan serta membuka ruang pasaran yang lebih luas kepada petani dan usahawan kecil.

Arthur berkata, kejayaan program Jualan Agro MADANI memperlihatkan komitmen kerajaan dalam menyeimbangkan kepentingan pengguna dan pengeluar, seterusnya memperkukuh keterjaminan makanan negara.

Sumber: Facebook Datuk Arthur Joseph Kurup

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!


 

This will close in 5 seconds

TV Sabah | News Portal