JTU Sabah sita lori dan jentera pengambilan pasir haram Kota Belud

JTU Sabah sita scaled

KOTA BELUD: 9 Mac 2026  – Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah telah menyita sebuah ekskavator dan sebuah lori dalam satu operasi penguatkuasaan terhadap aktiviti pengorekan dan pengambilan pasir darat secara haram di Kampung Pintasan , Kota Belud  pada 5 Mac lalu.

Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, Sr. Chua Ming Ling @ Alan, berkata operasi tersebut dilaksanakan selepas pasukan penguatkuasa menjalankan risikan dan intipan selama kira-kira seminggu susulan maklumat mengenai kegiatan pengambilan pasir secara haram di kawasan berkenaan.

Menurutnya, pasukan penguatkuasa jabatan melancarkan serbuan pada kira-kira  jam 9.45 pagi pada 5 Mac di lokasi yang dikenal pasti.

“Hasil serbuan itu, pihak jabatan telah menyita sebuah ekskavator jenis CAT dan sebuah lori Nissan 13 tan yang membawa muatan pasir darat.

“Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat kerana individu yang berada di lokasi kejadian sempat melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pasukan penguatkuasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, satu laporan polis telah dibuat berhubung operasi tersebut dan Kertas Siasatan (IP) akan dibuka oleh Unit Siasatan Bahagian Penguatkuasa bagi melengkapkan siasatan.

“Tindakan selanjutnya akan diambil mengikut peruntukan di bawah Ordinan Tanah Sabah (Bab 68),” katanya.

Menurutnya lagi, kejayaan operasi tersebut adalah hasil kerjasama antara Pasukan Penguatkuasa Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), pemimpin Masyarakat  Kota Belud dan maklumat dari orang awam.

Tambah beliau, jabatan akan terus mempergiatkan  pemantauan dan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras sebarang aktiviti pengambilan tanah, pasir atau batu secara haram di seluruh Sabah.

“Jabatan Tanah dan Ukur Sabah tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau pengusaha yang melanggar undang-undang di bawah Ordinan Tanah Sabah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal